JOHOR BAHRU – UMNO merekodkan 16,867 ahli baharu menerusi pendaftaran secara atas talian dalam tempoh 20 hari, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Jumlah tersebut melibatkan 71 peratus terdiri daripada golongan muda,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Ibu Pejabat UMNO Johor di sini hari ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan barisan tertinggi kepimpinan parti tersebut.
Sebelum itu, Zahid dan kepimpinan tertinggi UMNO turut melakukan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Istana Besar Johor di sini.
Dalam pada itu, sambutan ulang tahun UMNO ke-80 diadakan di Ibu Pejabat UMNO Johor hari ini bukan sekadar mengimbau sejarah perjuangan lampau parti berkenaan.
Sebaliknya kata beliau, menjadi peringatan penting bahawa kekuatan sesebuah bangsa terletak pada perpaduan rakyat, kestabilan negara dan kesetiaan kepada institusi Raja-Raja Melayu.
Asyraf berkata, semangat perjuangan yang lahir sejak penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946 perlu terus dipertahankan demi memastikan agama, bangsa dan tanah air kekal terpelihara.
Menurut beliau, sambutan ulang tahun itu membawa makna besar kepada seluruh ahli parti kerana Johor merupakan lokasi bersejarah kelahiran UMNO yang menjadi tunjang kepada kemerdekaan negara.
“Daripada semangat penyatuan itulah lahirnya UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa yang kemudiannya menjadi tunjang utama kepada kemerdekaan serta pembentukan negara yang berdaulat.
“Sambutan ini bukan sekadar nostalgia, tetapi peringatan bahawa kekuatan bangsa bergantung kepada kesatuan rakyat dan kestabilan negara di bawah naungan institusi Raja-Raja Melayu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO kekal komited meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air selepas lapan dekad penubuhannya.- MalaysiaGazette
















