KUANTAN – Projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan (KIA) di Gebeng disasarkan siap pada tahun 2031.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, perancangan projek berskala besar berkenaan perlu dilaksanakan secara teliti dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.
Menurutnya, projek pembangunan berimpak tinggi itu melibatkan pelaburan berskala besar serta dirancang untuk tempoh operasi jangka panjang antara 50 hingga 100 tahun.
“Berhubung status terkini, projek ini kini berada pada peringkat pemuktamadan keperluan teknikal, struktur pelaksanaan serta pembabitan pelabur strategik.
“Pada masa sama, pelaksanaannya tertakluk kepada pematuhan syarat teknikal yang ketat oleh agensi persekutuan termasuk Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), CAAM serta Kementerian Pengangkutan (MOT), khususnya membabitkan aspek keselamatan dan piawaian operasi penerbangan antarabangsa,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Cheka) pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan dalam Mesyuarat Pertama Penggal ke-5 Dewan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 tahun 2026 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tuan Ibrahim bertanya mengenai status terkini dan halangan yang dihadapi untuk pembinaan KIA di Gebeng yang dijadual beroperasi pada tahun 2026 serta status pembangunan bercampur Bandar Aeroangkasa yang melibatkan kawasan seluas 5,042 hektar.
“Kita perlu mematuhi piawaian Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta agensi berkaitan kerana ia melibatkan aspek keselamatan penumpang, dengan unjuran kapasiti sekitar dua juta penumpang setahun.
“Oleh itu, pelaksanaan perlu dilakukan dengan mengambil kira tempoh masa yang sebaiknya. Pada perspektif kerajaan negeri, projek ini berjalan dengan lancar.
“InsyaAllah akan ada pengumuman menarik oleh pihak pemaju dalam masa terdekat dan saya harap semua dapat mengikuti perkembangan seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Nizar berkata, cadangan pembangunan KIA di Gebeng serta Bandar Aeroangkasa merupakan projek strategik berimpak tinggi negeri yang dilaksanakan melalui pendekatan pembiayaan swasta (PFI).
Ujar beliau, ia merangkumi lapangan terbang antarabangsa, fasiliti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), Magazine Space City, Advanced Mobility Park, pusat data, taman teknologi kecerdasan buatan (AI Tech Park) serta komponen residensi dan komersial bagi menyokong ekosistem aeroangkasa.
Mohamad Nizar berkata, kerajaan negeri bersama pihak pemaju sedang melaksanakan libat urus berterusan dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan semua keperluan teknikal dipenuhi sebelum pelaksanaan fizikal diteruskan. – MalaysiaGazette















