JOHOR BAHRU – Pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) wajar dilakukan serentak bagi mengelak pembaziran kos dan meningkatkan peratusan keluar mengundi.
Ahli Parlimen Pulaui, Suhaizan Kaiat berkata, faktor berkenaan perlu dipertimbangkan secara serius kerana bimbang memberi kesan termasuk kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.
“Langkah ini juga mampu membantu pengundi Johor yang bekerja di Singapura agar tidak terbeban untuk pulang mengundi sebanyak dua kali sekiranya pilihan raya diadakan secara berasingan.
“Negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) wajar mempertimbangkan penyelarasan pilihan raya secara bersama demi kestabilan politik dan kecekapan pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 3 Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, sebarang cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) secara serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, bergantung sepenuhnya kepada situasi politik semasa serta perkenan Raja-Raja dan Yang Dipertua Negeri.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, walaupun tempoh pentadbiran Melaka dan Johor bakal berakhir tidak lama lagi, keputusan akhir tertakluk kepada kuasa ketua negeri berdasarkan nasihat Menteri Besar dan Ketua Menteri.
“Kosnya terlalu tinggi dan kalau diadakan serentak pun kos yang sama dibelanjakan, selain soal kesesuaian waktu”, katanya.- MalaysiaGazette
















