KUALA LUMPUR – Kegiatan penyelewengan minyak diesel berjaya ditumpaskan dengan merampas lebih 10,000 liter diesel bersubsidi menerusi Ops Taring Bravo 1 di Kampung Melayu, Jalan Labuk, Sandakan, Sabah hari ini.
Operasi sekitar 3 petang itu dilaksanakan oleh Bahagian WCB /PSK, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sandakan.
Komander WCB/ PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun telah ditahan dipercayai terlibat dalam aktiviti pemindahan diesel bersudsidi secara tidak sah.
“Semakan mendapati, suspek bertindak sebagai pemandu lori tangki dan premis terbabit tidak mempunyai lesen serta permit yang sah.
“Hasil pemeriksaan mendapati, kegiatan tersebut dijalankan tanpa kebenaran termasuk penggunaan peralatan khas bagi tujuan pemindahan bahan api itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Zaki, pihaknya turut merampas sebuah lori tangki, beberapa tong dram, pam elektrik, skid tank serta diesel bersudsidi dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM158,330.
“Suspek bersama semua barang rampasan telah diserahkan kepada KPDN Sandakan bagi siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















