KUALA LUMPUR – Polis masih menunggu maklumat lanjut berhubung kenyataan kontroversi Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad SAW dalam program ceramah politik di Terengganu pada minggu lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara itu dan sedang meneliti isu berkenaan bagi menjalankan siasatan serta tindakan lanjut.
“Perkara itu masih dalam perhatian dan tindakan kita. Sebarang maklumat (berkaitan isu tersebut), kita masih lagi menunggu daripada pihak berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penutupan Program Polis PDRM Special Dialogue 2026 Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) di sini, hari ini.
Terdahulu tular video memaparkan Nik Muhammad Zawawi mendakwa Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA sebagai ‘bapa ceti’ yang gemar memeras orang miskin semasa zaman jahiliyah manakala Saidina Umar al-Khattab RA pula digambarkan sebagai lelaki yang zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.
Kenyataan itu dipercayai disampaikan dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu pada hujung minggu lalu.
Bagaimanapun, Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu tampil memohon maaf dan mengakui bahawa beliau kurang cermat dalam mengolah serta menyampaikan maklumat ketika program tersebut. – MalaysiaGazette
















