KUALA LUMPUR – Pembatalan lesen eksport sistem peluru berpandu anti kapal Naval Strike Missile (NSM) oleh Norway tidak menjejaskan penerimaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dijadualkan pada Disember ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, isu berkenaan hanya melibatkan komponen peluru berpandu yang dibangunkan Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) dan tidak menjejaskan keseluruhan kemajuan projek pembinaan kapal perang tersebut.
Menurut beliau, kerajaan juga sedang menilai sistem persenjataan lain sebagai pengganti NSM untuk dilengkapkan pada kapal TLDM.
“Terdapat dua kontrak utama yang terlibat, satu untuk keperluan kapal LCS dan satu lagi bagi kapal kelas frigat iaitu KD Lekiu dan KD Jebat dengan keseluruhan nilai melebihi RM600 juta.
“Namun begitu, kita telah pun membayar kira-kira 95 peratus daripada kos tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Program ProWira Ready To Work Graduate dan Inisiatif Pendidikan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata, proses penggantian kepada sistem baharu itu juga dijangka tidak akan menjejaskan jadual penghantaran kapal yang dirancang pada Disember nanti.
“Saya percaya perkara ini tidak akan menjejaskan keseluruhan projek dan yang penting proses penggantian kepada sistem baharu itu tidak menjejaskan jadual penghantaran kapal,” katanya.
Sebelum ini, sebuah portal pertahanan melaporkan Norway membuat keputusan secara unilateral untuk menyekat penghantaran peluru berpandu NSM yang dibangunkan KDA sekali gus menamatkan kontrak berkenaan tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada Malaysia.
Difahamkan, keputusan menghentikan penghantaran peluru berpandu itu dimaklumkan kepada Mohamed Khaled dalam pertemuan bersama pegawai kerajaan Norway pada 20 April lalu sempena hari pertama Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2026.
Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled berkata, beliau akan ke Lumut, Perak pada Selasa depan bagi mendapatkan penjelasan lebih terperinci berhubung perkembangan semasa projek berkenaan. – MalaysiaGazette
















