OMEGA 2 Shah Alam merupakan kemudahan rantai sejuk pintar binaan khas pertama di Malaysia dan projek OMEGA kedua di Lembah Klang. 

KUALA LUMPUR – Ally Logistic Property (ALP), pemaju dan pengendali infrastruktur logistik pintar yang berpangkalan di Taiwan mengumumkan pembangunan OMEGA 2 Shah Alam iaitu kemudahan rantai sejuk pintar binaan khas pertamanya di Malaysia dan projek OMEGA kedua di Lembah Klang.

Terletak di selatan Shah Alam, Selangor, pembangunan seluas sembilan ekar itu melibatkan jumlah pelaburan kira-kira RM500 juta (AS$127 juta) dan disasarkan siap pada suku kedua 2028.

Pengarah Urusan Ally Logistic Property Malaysia, Bryan Rio berkata, OMEGA 2 Shah Alam akan menjadi kemudahan rantai sejuk dalam sistem penyimpanan dan pengambilan automatik (AS/RS) berbilang tingkat pertama di Malaysia yang dibina oleh pemaju menampilkan ruang binaan kira-kira 577,000 kaki persegi dan lebih daripada 30,000 kedudukan palet dalam AS/RS miliknya.

Menurutnya, kemudahan itu direka berdasarkan model pelbagai penyewa, membolehkan pelbagai rantaian bekalan beroperasi dalam ekosistem infrastruktur bersama bagi mengurangkan pertindihan aset logistik dan merendahkan keseluruhan penggunaan tenaga merentasi rangkaian rantaian bekalan.

“Direka sebagai hab logistik pelbagai suhu, kemudahan ini akan menyepadukan zon penyimpanan ambien, berhawa dingin, sejuk dan beku untuk menyokong keperluan sektor makanan dan minuman, farmaseutikal, peruncitan serta e-dagang Malaysia yang kian berkembang.

“Projek ini hadir ketika permintaan terhadap infrastruktur rantai sejuk moden di Malaysia semakin meningkat, di mana kemudahan penyimpanan sejuk binaan khas dan automatik masih terhad meskipun terdapat pertumbuhan pesat dalam industri sensitif suhu.

“Logistik rantai sejuk menjadi semakin penting merentasi sektor seperti pengedaran makanan, farmaseutikal, peruncitan dan e-dagang. Walau bagaimanapun, pasaran infrastruktur rantai sejuk Malaysia masih belum dicapai sepenuhnya dari segi automasi, kebolehskalaan dan kecekapan tenaga,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bryan Rio.

Yeo menambah, OMEGA 2 Shah Alam direka untuk menangani jurang ini melalui penyelesaian rantai sejuk yang lebih pintar dan mampan.

Katanya, selain kecekapan operasi, pihaknya percaya infrastruktur logistik termaju juga boleh menyumbang kepada aspirasi Malaysia yang lebih luas untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi dan berpacukan teknologi sambil menyokong matlamat ESG dan peralihan tenaga negara.

“Kemudahan ini juga direka dengan prinsip teras kemampanan. Melalui sistem AS/RS berketumpatan tinggi dan sistem pengurusan tenaga pintar, OMEGA 2 Shah Alam dijangka mengurangkan penggunaan tenaga, mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan kecekapan operasi berbanding kemudahan penyimpanan sejuk konvensional.

“Pembangunan ini selaras dengan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, yang menekankan pertumbuhan industri mampan, kecekapan tenaga dan penggunaan teknologi termaju untuk memperkukuh daya saing Malaysia sebagai hab logistik serantau,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast