KUALA LUMPUR – Nilai ringgit mengukuh berbanding mata wang rakan-rakan dagangan utama Malaysia menerusi kenaikan 1.4 peratus dalam kadar pertukaran efektif nominal (NEER) pada suku pertama tahun ini.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ringgit juga meningkat sebanyak 0.5 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku tersebut meskipun dolar mata wang dunia itu mengukuh susulan tercetusnya konflik di Asia Barat dalam keadaan sentimen penghindaran risiko.
Menurutnya, penambahan nilai ringgit disokong oleh asas domestik Malaysia yang kukuh dan momentum pertumbuhan di samping aliran masuk yang berterusan oleh pelabur bukan pemastautin ke dalam pasaran domestik.
“Walaupun terdapat sedikit volatiliti berikutan konflik di Asia Barat dan jangkaan yang berkurangan terhadap pemotongan kadar dasar oleh Rizab Persekutuan AS, prestasi ringgit kekal baik sejak awal tahun sehingga kini.
“Ia menerusi penambahan nilai sebanyak 3.3 peratus berbanding dolar AS dan 2.9 peratus dari segi NEER pada 13 Mei lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman prestasi ekonomi negara pada suku pertama 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Abdul Rasheed berkata, pada masa hadapan, meskipun faktor luaran akan terus mempengaruhi pergerakan kadar pertukaran, prospek ekonomi Malaysia yang teguh serta
momentum pembaharuan yang berterusan dijangka terus menyokong ringgit.
“Bank Negara Malaysia akan terus memantau perkembangan global dengan teliti dan komited untuk memastikan pasaran pertukaran asing domestik terus berfungsi dengan teratur,” katanya. – MalaysiaGazette
















