JOHOR BAHRU – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini mengumumkan parti itu akan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Menteri Besar Johor itu berkata, langkah tersebut dilakukan selepas melakukan perbincangan dengan pucuk pimpinan parti.

“Selepas berbincang dengan pucuk pimpinan parti, saya dengan rasa penuh insaf dan tanggungjawab menyatakan bahawa BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang.

“Bagi UMNO dan BN Johor, pendirian untuk bertanding di 56 kerusi DUN adalah tawaran yang jelas kepada rakyat bahawa kami bersedia untuk terus membentuk sebuah kerajaan yang stabil, kuat dan berkhidmat sepenuhnya kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum pandangan, suara dan harapan rakyat Johor serta kepimpinan akar umbi UMNO dan BN Johor berhubung hala tuju parti menjelang PRN yang akan datang.

Pada PRN Johor 2022, UMNO dan BN menang 40 daripada 56 kerusi dengan PH yang terdiri daripada DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.

PN pula menang tiga kerusi yang mana Bersatu dua, manakala Pas, satu sementara Parti Ikatan Demokratik (Muda) juga satu kerusi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast