JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir ceramah dan rapat umum selepas Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada petang esok.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil berkata, program berkenaan akan diadakan selepas Anwar yang juga Pengerusi PH selesai berucap dalam Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di bandar raya ini.
“Selepas acara utama selesai, Konvensyen Pakatan Harapan 2026 akan mengadakan satu rapat umum dan ceramah perdana di DUN Puteri Wangsa.
“Anwar Ibrahim dijangka turut bersama untuk menyampaikan ucapan dalam program tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau persiapan akhir Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi turut menjangkakan kehadiran orang ramai pada program berkenaan akan berlangsung dalam jumlah yang besar.
Kerusi DUN Puteri Wangsa (N41) kini disandang oleh Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abdul Aziz.
Beliau memenangi kerusi tersebut pada PRN Johor 2022 dalam saingan enam penjuru dengan memperoleh 22,884 undi.- MalaysiaGazette
















