Suhaizan Kaiat Foto MUHD NA’IM. 27 OGOS 2023.

JOHOR BAHRU – Keputusan Barisan Nasional (BN) Johor bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kaiat berkata, keputusan itu memberi panduan politik yang jelas bukan sahaja PRN tetapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) berkemungkinan besar menyaksikan pertandingan antara Pakatan Harapan (PH), BN dan Perikatan Nasional (PN)

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, realiti politik tersebut perlu diterima dengan matang dan dibincang secara terbuka demi memastikan rakyat mendapat penjelasan yang jujur tentang hala tuju politik negara dan negeri.

“Sehubungan itu, Konvensyen Pakatan Harapan 2026 yang berlangsung esok perlu menjadi medan penting untuk membincangkan persediaan menghadapi pertembungan tiga penjuru.

“Wakil-wakil negeri serta pimpinan utama PH perlu memberikan hala tuju dan pendirian yang lebih jelas berhubung strategi menuju PRN dan PRU akan datang agar seluruh jentera dan penyokong memahami bentuk kerjasama politik yang bakal dihadapi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, selain pengumuman BN Johor itu, peristiwa undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan baru-baru ini juga menjadi indikator bahawa dinamika politik menuju PRU-16 semakin menjurus kepada pertandingan pelbagai penjuru.

Namun katanya, persoalan besar yang perlu dijawab ialah bagaimana Kerajaan Perpaduan dapat terus berfungsi dengan stabil apabila parti-parti komponen mula bergerak sebagai pesaing secara terbuka di peringkat negeri dan nasional.

Rakyat juga kata beliau, pastinya ingin melihat bagaimana bentuk kempen yang akan berlangsung apabila Perdana Menteri daripada PH dan Timbalan Perdana Menteri daripada BN berada dalam satu Kerajaan Persekutuan tetapi berkempen sebagai lawan dalam PRN Johor.

Keadaan di Sabah ujarnya, mungkin berbeza kerana budaya politik negeri tersebut sejak dahulu memperlihatkan hubungan berbeza antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Namun, kata beliau, budaya politik sedemikian bukan kebiasaan di Johor, sekali gus memerlukan penjelasan yang lebih tersusun kepada rakyat.

“Bagi mengelakkan kecelaruan dalam kalangan pengundi, saya berpandangan bahawa pilihan raya secara serentak melibatkan PRN dan PRU wajar dipertimbangkan sekiranya senario pertandingan tiga penjuru benar-benar berlaku.

“Langkah ini bukan sahaja memberi direction yang lebih jelas kepada rakyat, malah dapat menjimatkan kos pentadbiran pilihan raya serta membolehkan kerajaan yang terbentuk selepas itu memberi fokus penuh kepada usaha menangani cabaran ekonomi dan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Tambahnya, apa yang paling penting adalah rakyat mahukan kejelasan, kestabilan dan kejujuran politik.

Menurutnya, semua pihak perlu bersikap telus dalam menentukan hala tuju politik negara demi masa depan Malaysia dan Johor yang lebih stabil.

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan BN Johor akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN dalam PRN Johor akan datang selepas mengambil maklum suara dan harapan kepimpinan akar umbi BN dan juga UMNO Johor.

“Selepas berbincang dengan pucuk pimpinan parti, saya dengan rasa penuh insaf dan tanggungjawab menyatakan bahawa BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast