JOHOR BAHRU – MIC Johor menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Barisan Nasional (BN) negeri untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Pengerusi MIC Johor, K Raven Kumar berkata, parti itu berpandangan bahawa keputusan untuk bergerak atas kekuatan sendiri adalah satu pendirian yang jelas, konsisten dan selari dengan semangat perjuangan BN di Johor sejak sekian lama.
“Keputusan ini bukan soal ego politik, tetapi demi memastikan kestabilan kerajaan negeri, kesinambungan pembangunan serta kepimpinan yang mempunyai hala tuju jelas untuk rakyat Johor.
“MIC Johor juga percaya bahawa Johor tidak memerlukan percaturan politik yang boleh mewujudkan ketidaktentuan pentadbiran atau mengganggu fokus terhadap agenda pembangunan rakyat dan negeri,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sebagai komponen setia dalam BN, MIC Johor komited untuk terus memperkukuhkan gerak kerja bersama-sama seluruh jentera BN bagi memastikan kemenangan gabungan tersebut di semua kawasan DUN.
Ujarnya, MIC Johor yakin rakyat akan terus menilai berdasarkan rekod perkhidmatan, kestabilan politik serta keikhlasan perjuangan yang telah dibuktikan oleh BN selama ini.
Jelasnya, Johor perlu terus dipimpin oleh kerajaan yang stabil, berpengalaman dan memahami aspirasi Bangsa Johor.
“Johor bukan makmal politik, tetapi negeri yang perlu terus maju dengan kestabilan dan kepimpinan yang kukuh,” katanya.
Hari ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan BN Johor akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN dalam PRN Johor akan datang selepas mengambil maklum suara dan harapan kepimpinan akar umbi BN dan juga UMNO Johor.
“Selepas berbincang dengan pucuk pimpinan parti, saya dengan rasa penuh insaf dan tanggungjawab menyatakan bahawa BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette
















