Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berucap pada Himpunan Daulat Tuanku di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 16 MEI 2026.

SHAH ALAM – Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan DAP yang masih ‘tak reti bahasa’ walaupun selepas menerima memorandum bantahan, menjadi punca Himpunan Daulat Tuanku dianjurkan di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.

Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar menegaskan, kehadiran mereka di hadapan bangunan SUK membawa mesej simbolik yang lebih besar berikutan insiden kebiadapan terhadap institusi diraja itu didakwa berlaku di situ.

“Di pejabat ADUN Seri Kembangan, saya sendiri bersama rakan-rakan Pemuda PAS Selangor sudah pergi hantar memorandum, memang DAP ini tak reti bahasa.

“Tapi kita buat depan SUK ini sebab di sini berlaku kebiadapan itu. Ini simbolik, mesti kemuliaan dewan ini dijaga,” katanya kepada pemberita selepas Himpunan Mega Daulat Tuanku di luar pekarangan bangunan SUK Selangor, di sini, hari ini.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar bercakap ketika ditemubual wartawan selepas hadir ke Himpunan Daulat Tuanku di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 16 MEI 2026.

Jumaat lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal dengan pendirian baginda tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini.

Baginda menegaskan, isu penternakan haiwan itu perlu dihenti dan dimuktamadkan sepenuhnya demi mengelakkan keresahan serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat terpelihara.

Sukri juga berkata, rentetan daripada kegagalan wakil rakyat DAP itu dan parti itu mengambil iktibar, Pemuda PAS Selangor memberi amaran serta mendesak Siew Ki memohon maaf secara terbuka dengan segera.

“Kalau tak jaga (kemuliaan Dewan Negeri Selangor) bersedia kita nak humban DAP keluar daripada Dewan, Speaker kena letak jawatan, kita beri ingatan,” tegasnya.

Katanya lagi, rakyat tidak akan teragak-agak menghukum wakil rakyat DAP dan tidak akan membiarkan penderhakaan itu berterusan khususnya di Selangor.

“Rakyat bersama Tuanku mempertahankan titah Tuanku, yang Tuanku bertitah di sini (Dewan Negeri Selangor).

“Rakyat dan anak muda tidak sekali-kali akan membenarkan penderhakaan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast