JOHOR BAHRU – Mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli Parlimen yang menang pilihan raya atas tiket parti perlu kekal dengan partinya sehingga tamat penggal.
Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke berkata, walaupun terdapat tindakan kemungkinan implikasi perundangan dalam isu tersebut, perkara berkenaan perlu diteliti dan diputuskan oleh Speaker Dewan Rakyat.
Beliau mengulas tindakan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengumumkan keluar parti dan mengambil alih Parti Bersama Malaysia atau Malaysian United Party (MUP).
“Tapi sepatutnya kita kena menghormati proses bahawa apabila kita telah menang atas kapasiti parti, kita kena kekal sehingga pilihan raya.
“Walaupun saya menghormati pendirian beliau (Rafizi), mungkin dia kata dia kecewa dan sebagainya. Tapi sepatutnya kena kekal sehingga akhir penggal,” katanya.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, ketika ini tempoh penggal kini sudah melepasi tiga tahun dan perletakan jawatan tidak lagi membawa kepada pilihan raya kecil.
Justeru beliau menegaskan, prinsip utama yang perlu dipegang adalah kesetiaan kepada parti yang memberikan kemenangan kepada mereka.- MalaysiaGazette
















