JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor tidak boleh mendabik dada dengan mendakwa kejayaan mentadbir negeri sehingga pesat membangun adalah usaha mereka sendiri.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, sebaliknya kejayaan itu adalah hasil kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Pusat.
Beliau yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berkata, pembangunan pesat di Johor dilihat tidak mungkin berjaya sekiranya tanpa ‘bantuan’ kerajaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Sri Gading itu menambah, pemerintahan kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menyusun pelbagai pembangunan dalam negeri ini.
“Kalau dia kata Maju Johor ini kerana dia, tanpa Kerajaan Persekutuan, adakah boleh jauh ke depan? Tak mungkin.
“Sebab itulah, saya yakin dan percaya, apa yang jadi kebanggaan kita hari ini kerana kita memiliki pasukan Perdana Menteri atau kerajaan yang komited untuk jaga kestabilan, bukan sekadar untuk Malaysia, tetapi seluruh dunia.
“Bukan mudah untuk kali ini, dalam suasana rakyat rasa terbeban, tetapi kebijaksanaan pemimpin kita yang uruskan ekonomi dan perjalanan peringkat Persekutuan bahawa pembangunan satu negeri amat bergantung kerajaan Persekutuan,” katanya.
Aminolhuda berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Perwakilan mewakili PH Johor pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, hari ini.
Beliau berkata, semua pembangunan diusahakan kerajaan Persektuan di Johor antara lain bagi menyediakan peluang pekerjaan di negeri ini.
“Setiap hari terutamanya Jumaat, Sabtu dan Ahad, dari Ayer Hitam, Batu Pahat ke Johor Bahru, Kerajaan Persekutuan peruntukkan lebih RM400 juta buat pelebaran jalan. Ini duit Kerajaan Persektuan.
“Kerajaan Persekutuan beri laluan kereta api, ETS, beri pembangunan besar di Johor, apa tujuannya? Supaya rakyat yang kerja di Singapura dapat kerja di Johor kerana negeri ini pesat membangun. Ini hasil kerja kuat Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















