Menteri Komunikasi merangkap Pengarah Konvensyen Pakatan Harapan, Datuk Fahmi Fadzil pada Konvensyen Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 17 MEI 2026.

JOHOR BAHRU – Pengumuan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak menjejaskan hubungan dalam kerajaan Perpaduan.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerjasama dalam kerajaan Perpaduan diteruskan sehingga kini.

Ditanya sama ada itu mungkin satu tanda BN akan berunding dengan PH, beliau berkata:

“Mungkin, mungkin, ya,” katanya ringkas dalam sidang akhbar semasa Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Terdahulu portal ini melaporkan satu sidang DUN khas akan diadakan pada 24 Jun ini dijangka bagi memberi laluan untuk PRN Johor.

Spekulasi kemungkinan PRN Johor diadakan lebih awal kembali hangat selepas tular mesej WhatsApp mendakwa satu sidang khas DUN Johor akan berlangsung pada tarikh berkenaan.

Sidang DUN Khas yang diadakan itu juga dijangka mengumumkan pembubaran DUN bagi memberi laluan PRN Johor ke-16.

Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam mengumumkan bahawa BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang.

Bagaimanapun, pemimpin BN dan UMNO Johor yang dihubungi mengingatkan orang ramai supaya tidak menganggap mesej berkenaan sebagai pengesahan rasmi di tengah-tengah desas-desus politik mengenai kemungkinan pembubaran DUN Johor.

Untuk rekod, penggal semasa DUN Johor dijadual tamat pada April 2027 sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast