Pengerusi Pakatan Harapan Johor, Aminolhuda Hassan pada Konvensyen Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 17 MEI 2026.

JOHOR BAHRU – Tindakan kerajaan Johor melantik lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menunjukkan Barisan Nasional (BN) bimbang kehilangan sokongan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan mendakwa, BN bimbang hilang sokongan rakyat khususnya di kawasan bandar.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu berkata, terdapat tujuh kawasan DUN di Johor mempunyai lebih 100,000 pengundi namun kerajaan negeri tidak berani melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

“Kalau dibuat persempadanan semula, kawasan bandar akan bertambah dan mereka tahu sokongan di kawasan itu banyak memihak kepada PH.

“Sebab itu mereka tidak berani buat persempadanan semula,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, Johor sebenarnya masih menjadi negeri yang kuat dipengaruhi PH apabila gabungan itu memiliki 14 kerusi Parlimen di negeri berkenaan.

Menurutnya, pengalaman PH mentadbir negara selama 22 bulan juga menjadi pengajaran besar selepas gabungan itu didakwa dikhianati ketika memerintah kerajaan Persekutuan.

“Kita tidak akan berhenti. Kita akan teruskan perjuangan rakyat Johor dan Bangsa Johor untuk mentadbir negeri ini dengan lebih baik,” katanya.

Pada 7 Mei lalu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor meluluskan usul rang undang-undang (RUU) pindaan Perlembagaan berhubung lima ADUN lantikan.

Ia selepas RUU itu mendapat undian dua pertiga melibatkan 40 daripada 56 ADUN yang semuanya daripada blok kerajaan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast