Timbalan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Shafi Muhammad.

JOHOR BAHRU – Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad menyifatkan pelantikan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang baharu berpotensi menjadikan beliau sekadar ‘alat politik’ dalam percaturan kuasa dalaman Perikatan Nasional (PN).

Katanya, walaupun pelantikan Menteri Besar Terengganu itu cuba digambarkan sebagai usaha memperkukuh PN, hakikat sebenar memperlihatkan wujud persaingan kuasa yang semakin ketara antara pimpinan tertinggi PAS dan Bersatu menjelang pilihan raya akan datang.

“Semua orang tahu jawatan Ketua Pembangkang ini bukan semata-mata soal menyusun strategi semak dan imbang di Parlimen.

“Ia juga berkait rapat dengan percaturan siapa bakal diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri sekiranya PN mahu menarik sokongan rakyat”

“Dalam konteks ini, saya melihat Ahmad Samsuri sebenarnya sedang diletakkan di tengah gelanggang politik yang sangat berbahaya dan beliau boleh menjadi mangsa kepada permainan kuasa dalaman PN sendiri.

”Apatah lagi beliau bukan nama besar berbanding pimpinan PN yang lebih lama” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Johor Bahru, di sini.

Saifuddin berkata, kemunculan Samsuri ketika ini juga dilihat tidak disenangi beberapa kelompok tertentu dalam gabungan berkenaan.

Ini khususnya mereka yang mempunyai cita-cita lebih besar dalam politik nasional.

Menurutnya, bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin sejak sekian lama dilihat mempunyai aspirasi untuk menduduki kerusi Perdana Menteri dalam usaha mereka membentuk kerajaan pada masa hadapan.

“Dalam masa sama, pengaruh kelompok tertentu dalam Bersatu yang dikaitkan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga tidak boleh dipandang ringan.

“Jadi apabila Samsuri mula diberikan ruang lebih besar dan cuba dipromosikan sebagai wajah lebih sederhana serta boleh diterima pelbagai pihak, sudah tentu akan wujud pertembungan kepentingan dalaman,” ujarnya.

Beliau berkata, keadaan itu berpotensi menyebabkan Samsuri akhirnya menjadi korban kepada perebutan pengaruh antara PAS dan Bersatu yang masing-masing mahu menentukan hala tuju serta dominasi dalam PN.

Katanya, PAS mungkin melihat Samsuri sebagai aset untuk memperluaskan pengaruh parti ke luar kelompok tradisional, namun Bersatu pula mempunyai agenda tersendiri untuk memastikan kuasa politik pembangkang utama kekal berada dalam tangan mereka.

“Rakyat jangan terpedaya dengan gambaran kononnya PN kini semakin stabil dan tersusun.

“Di belakang tabir, persaingan siapa paling layak menjadi calon Perdana Menteri dari blok pembangkang sebenarnya semakin kuat dan Ahmad Samsuri kini berada di tengah-tengah percaturan itu,” katanya lagi.

Saifuddin turut mendakwa pelantikan Samsuri juga boleh dilihat sebagai usaha PN untuk mengubah persepsi rakyat terhadap gabungan itu selepas beberapa pemimpin utama mereka semakin terpalit dengan polemik dan penolakan awam.

“Namun dalam politik, apabila seseorang mula terlalu popular dan dilihat berpotensi, di situlah juga bermulanya permainan untuk menjatuhkan atau mengawalnya.

“Siapa sebenarnya yang akan betul-betul patuh kepada Ahmad Samsuri selepas ini?

“Saya percaya Ahmad Samsuri akan berdepan tekanan politik lebih besar selepas ini, bukan sahaja daripada lawan politik tetapi juga daripada sekutu sendiri,” dakwanya. -MalaysiaGazette

Ahmad Samsuri dilantik Ketua Pembangkang, PN setuju kerjasama pilihan raya dengan parti tertentu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast