JOHOR BAHRU – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini memaklumkan belum diberitahu berkenaan sidang khas bagi pembubaran DUN pada 24 Jun ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, adalah lebih baik jika perkara berkenaan disahkan sendiri oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Tanya Menteri Besar, saya pun belum tanya Menteri Besar. Mungkin ada bajet tambahan untuk Bantuan Kasih Johor pada golongan yang terlepas pandang,” katanya ketika dihubungi.
Portal ini melaporkan satu sidang khas DUN akan dilakukan pada 24 Jun ini dijangka bagi memberi laluan pembubaran DUN untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Semalam Onn Hafiz mengumumkan BN akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN Johor akan datang.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil maklum pandangan rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi UMNO dan BN Johor mengenai hala tuju parti menjelang pilihan raya tersebut.
Penggal pentadbiran kerajaan negeri akan berakhir pada April 2027.- MalaysiaGazette
















