Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin pada Festival Agro MADANI Peladang @ NAFAS Mall di Muar, Johor semalam.

KUALA LUMPUR – NAFAS Bajakimia Sdn. Bhd. (NBKSB), anak syarikat milik penuh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), melancarkan secara rasmi Buku Panduan Pembajaan Tanaman Komoditi dengan Baja PELADANG sempena Festival Agro MADANI Peladang @ NAFAS Mall di Muar, Johor, sebagai usaha memperkukuh pemindahan ilmu dan meningkatkan kefahaman peladang terhadap amalan pembajaan yang lebih efektif.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin.

Menurut NBKSB, penerbitan buku tersebut merupakan inisiatif strategik syarikat dalam menyediakan bahan rujukan pembajaan yang praktikal, mudah difahami dan relevan dengan keperluan semasa sektor pertanian negara.

Majlis turut dihadiri Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin, Ketua Pegawai Eksekutif NBKSB, Zalifudin Md Arshad, wakil pengurusan kanan NAFAS, rakan strategik, pengedar, rakan industri serta komuniti peladang.

Buku panduan itu dibangunkan menerusi kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka Kampus Jasin melalui Fakulti Perladangan dan Agroteknologi sebagai rakan akademik dan teknikal dalam pembangunan kandungan.

Ketua Pegawai Eksekutif NBKSB, Zalifudin Md Arshad berkata, penerbitan buku berkenaan mencerminkan komitmen syarikat untuk memainkan peranan lebih luas dalam pembangunan sektor pertanian negara.

“NAFAS Bajakimia bukan sekadar pembekal input pertanian, tetapi turut komited sebagai rakan pembangunan ilmu kepada komuniti peladang. Buku ini dihasilkan sebagai panduan praktikal untuk membantu meningkatkan kefahaman terhadap amalan pembajaan yang lebih efektif dan berimpak kepada hasil tanaman,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, festival tersebut turut menjadi platform strategik untuk mendekatkan jenama Baja PELADANG kepada masyarakat umum menerusi pendekatan lebih inklusif dan mesra komuniti.

Dalam masa sama, NBKSB memperkenalkan rangkaian Baja PELADANG termasuk produk yang dilengkapi teknologi Nutrient Uptake Enhancer (NUE) bagi meningkatkan kecekapan penyerapan nutrien oleh tanaman serta menyokong amalan pembajaan lebih optimum.

Sempena Festival Agro MADANI, NBKSB turut menawarkan promosi khas termasuk jualan istimewa buku panduan serta tawaran produk terpilih bagi memberi peluang kepada masyarakat mengenali produk pertanian di bawah jenama PELADANG dengan lebih dekat.

Festival Agro MADANI Peladang @ NAFAS Mall berlangsung pada 16 hingga 17 Mei lalu dengan pelbagai aktiviti promosi, jualan khas, perkongsian ilmu dan aktiviti interaktif bersama komuniti. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast