Suhaizan Kaiat Foto MUHD NA’IM. 27 OGOS 2023.

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor masih mempunyai peluang terakhir untuk menimbang dan menjalin kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) seperti yang ditawarkan Pengerusi (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam Konvensyen PH 2026 semalam.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kaiat berkata, tawaran tersebut diberikan dengan penuh kebaikan, kesabaran dan kebijaksanaan kepada BN untuk berubah dengan melaksanakan rundingan kerusi khusus untuk pilihan raya negeri (PRN).

“Sekiranya BN terus memilih jalan keangkuhan politik dan menolak semangat kerjasama, maka PH bersedia untuk bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di seluruh negara.

“Keadaan ini juga membuka ruang kepada kemungkinan pilihan raya umum (PRU) dan PRN diadakan secara serentak demi mengembalikan mandat kepada rakyat.

“⁠Sekarang bola berada di kaki BN. Buatlah pilihan yang tepat antara keangkuhan politik tidak berkesudahan ataupun muafakat membawa berkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan BN Johor bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN Johor akan datang.

Semalam, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, jika tidak mahu bekerjasama selepas tawaran tersebut diberikan, PH akan tanding semua kerusi dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Suhaizan berkata, PH sejak awal menghulurkan tangan kerjasama demi kestabilan politik dan masa depan rakyat Johor.

Antaranya kata beliau, cadangan supaya Kerajaan Perpaduan dibentuk di negeri ini sebagaimana model yang berjaya dilaksanakan di Melaka.

Johor dan Melaka katanya, mempunyai model yang sama kerana pilihan raya lebih awal sebelum Kerajaan Perpaduan diperingkat Persekutuan dibentuk.

Malangnya dakwa beliau, cadangan tersebut ditolak oleh pimpinan BN Johor yang memilih untuk menutup ruang persefahaman politik demi kepentingan sempit mereka sendiri.

PH sebelum ini katanya, membuka ruang rundingan kerusi bagi menghadapi PRN-16 Johor demi memastikan pertandingan yang lebih tersusun dan stabil antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Namun, malangnya ujar Ahli Parlimen Pulai itu, BN memilih untuk bergerak secara solo dengan hasrat bertanding di semua 56 kerusi DUN di Johor.

“Sikap ini jelas memperlihatkan keengganan mereka untuk membina kekuatan bersama serta lebih mengutamakan kepentingan politik parti berbanding kestabilan masa depan negeri,” katanya.

Selain itu katanya, PH pernah memberikan peluang kepada BN untuk berada dalam kerajaan negeri di Negeri Sembilan.

“Namun peluang tersebut dikhianati apabila wujud usaha membawa undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Tindakan itu memperlihatkan bahawa semangat kerjasama dan kestabilan politik yang cuba dibina telah dicemari oleh percaturan politik yang tidak bertanggungjawab,” bidasnya.

Selain itu, di peringkat Persekutuan katanya, Kerajaan Perpaduan yang diterajui PH menyalurkan pelbagai peruntukan besar dan projek strategik untuk memacu pembangunan Johor.

Contohnya ujar Suhaizan, projek Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), Projek Sistem Transit Rapid (RTS), pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pembangunan pusat data dan pelbagai inisiatif ekonomi lain.

“Namun amat malang apabila Kerajaan Negeri Johor cuba menggambarkan kejayaan dan pembangunan tersebut seolah-olah berpunca sepenuhnya daripada usaha kerajaan negeri semata-mata tanpa mengiktiraf peranan besar Kerajaan Persekutuan,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast