KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan Cabang Titiwangsa yang juga Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Wilayah Persekutuan, Fathin Amelina Fazlie mengumumkan peletakan jawatannya daripada parti itu.
Serentak itu, beliau turut mengiystiharkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa hari ini.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas pertimbangan yang panjang dan mendalam.
Tambahnya, beliau turut berasakan perjuangan PKR hari ini semakin jauh tersasar daripada semangat asal reformasi, prinsip keadilan dan idealisme yang pernah diyakininya.
“Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pimpinan serta rakan seperjuangan atas ruang dan peluang yang diberikan kepada saya untuk belajar, berkhidmat dan memulakan perjalanan politik saya sepanjang berada dalam parti ini.
“Segala pengalaman, persahabatan dan kenangan sepanjang perjuangan ini akan sentiasa saya hargai.
“Patah tumbuh, hilang berganti. Namun prinsip dan maruah perjuangan tidak harus dijual beli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette
















