JOHOR BAHRU – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022 tidak boleh dijadikan penanda aras pada PRN kali ini.
Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, ini kerana keadaan berbeza iaitu PRN Johor 2022 berlangsung dalam suasana politik yang sangat luar biasa.
“Keputusan PRN Johor 2022 bukan gambaran mutlak sokongan rakyat ketika ini kerana pilihan raya tersebut berlangsung dalam keadaan luar biasa pasca pandemik.
“Pada ketika itu, kesan pandemik masih belum pulih sepenuhnya dan ramai pengundi Johor yang bekerja di Singapura tidak dapat pulang mengundi dengan mudah.
“Keadaan ini jelas memberi kesan kepada kadar keluar mengundi serta komposisi pengundi secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Tebrau itu menjelaskan gambaran sentimen rakyat yang lebih tepat sebenarnya boleh dilihat menerusi keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 apabila Pakatan Harapan (PH) memenangi majoriti kerusi Parlimen di Johor.
Katanya, jika keputusan PRU itu diterjemahkan kepada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), PH secara bersendirian memperoleh 32 kerusi iaitu jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.
Beliau menegaskan keadaan itu membuktikan rakyat Johor bukan ‘simpanan tetap’ mana-mana parti politik dan BN tidak boleh terus hanyut dengan kemenangan PRN lalu sehingga tersilap menilai sokongan semasa rakyat.
Justeru katanya, BN tidak perlu terlalu yakin dengan kedudukan politik mereka di Johor dan menganggap boleh menang PRN pada kali ini.
Dalam masa sama, Jimmy Puah mengingatkan bahawa rakyat kini sedang berdepan tekanan kos sara hidup, cabaran ekonomi serta ketidaktentuan global yang memerlukan perhatian serius kerajaan.
Menurutnya, keutamaan ahli politik ketika ini seharusnya tertumpu kepada usaha menstabilkan ekonomi, menarik pelaburan dan memperbaiki kehidupan rakyat, bukannya mencetuskan pilihan raya mengejut demi percaturan politik tertentu.
“Rakyat Johor tahu membezakan siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya mahu merebut kuasa, siapa yang mempertahankan kestabilan dan siapa yang mencipta risiko politik yang tidak perlu,” katanya.
Beliau turut menegaskan Johor memerlukan pentadbiran yang stabil, pragmatik dan berpandangan jauh demi memastikan masa depan rakyat lebih terjamin.- MalaysiaGazette
















