Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud ketika menyaksikan pelupusan beg udara (airbag) oleh Pusat Kemudahan Rawatan Automotif Berlesen (AATF), Car Medic Sdn Bhd di Bandar Teknologi Kajang, Semenyih. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 Mei 2026.

SEMENYIH – Penduduk Parlimen Setiawangsa tidak akan terabai meskipun kerusi kawasan itu kini kosong selepas wakil rakyatnya melepaskan jawatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Menurut beliau, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menerusi Datuk Bandar Kuala Lumpur telah mengadakan pertemuan bersama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) bagi memastikan segala keperluan dan kebajikan rakyat di kawasan itu terus diberi perhatian.

“Pejabat DBKL cawangan Setiawangsa akan mempertingkatkan usaha membantu rakyat di sana. Jabatan Wilayah Persekutuan juga akan memastikan apabila kita menjaga semua kawasan Parlimen, Setiawangsa tidak terabai walaupun mereka tidak mempunyai wakil rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud ke fasiliti Car Medic di sini, hari ini.

Sementara itu, Fadlun berkata, DBKL sememangnya mempunyai peruntukan khusus bagi setiap kawasan Parlimen termasuk Setiawangsa.

“Untuk Setiawangsa, kalau tidak silap sekitar RM30 juta diperuntukkan bagi projek mitigasi banjir, lestari niaga dan lain-lain.

“Kita sudah berjumpa dengan MPP supaya pembangunan serta tindakan menambah baik infrastruktur dalam kawasan Parlimen itu dapat diteruskan tanpa sebarang sekatan,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud ketika menyaksikan pelupusan kenderaan oleh Pusat Kemudahan Rawatan Automotif Berlesen (AATF), Car Medic Sdn Bhd di Bandar Teknologi Kajang, Semenyih. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 MEI 2026

Terdahulu hari ini, Hannah menerusi kenyataannya memberi jaminan, perkhidmatan di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan di kawasan Setiawangsa akan terus berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan susulan pengumuman Nik Nazmi Nik Ahmad meletak jawatan Ahli Parlimen Setiawangsa.

Menurut Hannah, beliau telah mengarahkan Fadlun supaya memperkukuhkan peranan Pejabat DBKL Cawangan Setiawangsa bagi menangani isu-isu tempatan serta memastikan segala aduan dan keperluan penduduk terus diberikan perhatian sewajarnya.

Katanya, langkah itu termasuk penambahan tenaga kerja bagi mempercepatkan tindakan di lapangan sepanjang tempoh berkenaan. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:-

Perkhidmatan Setiawangsa berjalan seperti biasa, Hannah arah DBKL perkukuh operasi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast