TANGKAP layar video tular kejadian seorang wanita ditikam pada bahagian leher di Alor Setar, Kedah malam tadi. #malaysiagazette

ALOR SETAR – Lelaki yang dipercayai menikam leher seorang wanita di dalam sebuah kereta Mazda 3 di hadapan restoran di Titi Gajah, Kepala Batas dekat sini malam tadi, direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Perintah reman sehingga 24 Mei terhadap suspek berusia 32 tahun itu dikeluarkan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, suspek ditahan di kawasan masjid di Taman Uda, Lebuhraya Sultanah Bahiyah kira-kira jam 1.50 pagi tadi iaitu lima jam selepas kejadian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan ketika ini termasuk mengenal pasti motif kejadian serta mengesan senjata yang digunakan dalam serangan tersebut,” katanya hari ini.

Media terdahulu melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 9.19 malam tadi, seorang wanita berusia 35 tahun ditemukan dalam keadaan berlumuran darah selepas dipercayai ditikam di bahagian leher kanan ketika berada di dalam kereta miliknya bersama suspek.

Mangsa yang bekerja sebagai jurutaip surat menyurat di sebuah pejabat tanah di Alor Setar itu kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan.

Syed Basri berkata, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran antara mangsa yang berada di tempat duduk pemandu dengan suspek sebelum lelaki itu dipercayai bertindak menikam mangsa menggunakan senjata tajam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast