KLUANG- Hasrat Pakatan Harapan (PH) mahu menguburkan UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 16 kerana didakwa melakukan khianat adalah satu penghinaan yang tidak boleh dimaafkan.
Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday berkata, tuduhan itu tidak berasas kerana realitinya kerajaan Johor yang dibentuk selepas PRN-15 pada 2022 terdiri daripada Barisan Nasional (BN) dan tiada kaitan dengan kerjasama BN-PH diperingkat kerajaan Persekutuan.
“Menerusi kemenangan melebihi dua pertiga iaitu 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU-15, ini membuktikan kekuatan BN di Johor namun dalam masa sama tidak mengabaikan gabungan PH serta Perikatan Nasional (PN) sebagai pengimbang.
“Apabila Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan BN akan bertanding semua 56 kerusi DUN dalam PRN-16, tidak timbul soal pengkhianatan kerana kerajaan Johor adalah kerajaan BN yang tidak bekerjasama dengan mana-mana gabungan parti lain,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika ditemui selepas Taklimat Gerak Kerja PRN Johor 2026 peringkat Parlimen Kluang di Dewan Kampung Melayu di sini, malam tadi.
Sehubungan itu, katanya, tuduhan mengatakan UMNO dan BN sebagai pengkhianat adalah tidak tepat sama sekali kerana tiada mana-mana pihak pun yang dikhianati.
Sementara itu, Md Jais berkata, hasrat PH untuk menguburkan UMNO untuk kali kedua adalah satu perkara yang boleh disifatkan sebagai penghinaan amat teruk terhadap parti keramat orang Melayu itu.
Ujarnya, situasi pada 2018 adalah berbeza dengan PRN-16 kerana pada ketika itu PH berjaya menggunakan fitnah sebagai usaha menjatuhkan kerajaan yang sehingga kini tiada satu kes pun terbukti benar.
Tambahnya, kerajaan negeri yang terbentuk selepas 2022 secara hakikatnya sudah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat hasil daripada kecemerlangan keseluruhan barisan kepimpinan yang mentadbir dan menjalankan amanah rakyat.
“Bagaimanapun, kami tetap bersedia untuk menerima cabaran PH itu kerana yakin barisan akar umbi BN akan memastikan bahawa kerajaan sedia ada terus mentadbir negeri Johor selepas PRN-16 nanti,” katanya.
Semalam Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dilaporkan berkata, pengumuman BN Johor bertanding di semua 56 kerusi di negeri itu merupakan satu penghinaan terhadap maruah PH.
Menurut pemimpin DAP itu, pengumuman yang dibuat sehari sebelum Konvensyen PH 2026 jelas membuktikan bahawa mereka dikhianati parti itu.
Selain itu menerusi Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Johor Bahru semalam, beberapa pemimpin utamanya ketika berucap turut melemparkan tuduhan pengkhianatan terhadap BN Johor. – MalaysiaGazette
















