Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mempersoalkan tindakan seorang wakil rakyat DAP yang didakwa tidak mematuhi titah Sultan Selangor sehingga menyebabkan baginda menegur secara terbuka dalam titah rasmi hari ini.

Menurut beliau, teguran secara langsung oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah itu membuktikan rasa dukacita baginda terhadap tindakan pemimpin berkenaan yang didakwa mempermainkan titah institusi diraja.

“Wahai rakyat, lihatlah bagaimana DAP mempermainkan titah Tuanku sehingga Tuanku terasa hati dan menyebut nama YB berkenaan secara langsung dalam titah baginda,” katanya dalam  kenyataan hari ini.

Afnan Hamimi turut mempersoalkan sama ada wakil rakyat terbabit akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk siasatan polis atau pendakwaan mahkamah susulan isu berkenaan.

Beliau juga membangkitkan persoalan sama ada pemimpin DAP terbabit akan memohon maaf kepada Sultan Selangor atas tindakannya itu.

Dalam pada itu, Afnan Hamimi yang merupakan Ahli Parlimen Alor Setar turut mempersoalkan kelayakan DAP untuk terus diberi kuasa mentadbir negara sekiranya pemimpin parti itu didakwa terus bersikap angkuh dan tidak menghormati titah diraja serta prinsip Rukun Negara.

Pada masa sama, beliau turut menyindir segelintir pemimpin Melayu yang menurutnya lantang bercakap mengenai usaha mempertahankan institusi raja, namun gagal menunjukkan tindakan sewajarnya dalam isu terbabit.

“Malulah kamu dengan diri sendiri. Sibuk dengan kuasa dan harta sedangkan tanah sendiri makin tergadai,” katanya.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin bertitah menyarankan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco DAP, Ronnie Liu datang seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk memahami dah menghayati makna Rukun Negara.

Titah baginda, ia supaya mereka menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.

Dalam masa sama, Sultan Selangor turut bertitah menyeru kepada semua wakil rakyat Selangor untuk datang sendiri ke Dataran Selangor setiap dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen di situ. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast