Setiausaha Agung MUDA, Nurainie Haziqah Shafii bercakap pada sidang media berkenaan Akta Drakonian di Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 01 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) membidas kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berhubung isu dana asing melibatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Mandiri.

Setiausaha Agungnya, Nurainie Haziqah Shafii berkata, kenyataan tersebut dilihat sebagai hipokrit, separa sedar dan memperlihatkan kecenderungan untuk membungkam suara anak muda yang berani bersuara mengenai prinsip serta integriti politik.

Menurutnya, tindakan Muhammad Kamil terhadap kelantangan Mandiri dalam membangkitkan soal ketelusan, melawan rasuah dan isu rakyat biasa telah menyebabkan mereka menjadi sasaran mudah.

“Muhammad Kamil tidak boleh berpura-pura lupa sejarah.

“Partinya sendiri bermula sebagai gerakan reformasi yang turut mendapat sokongan, latihan dan dukungan daripada pelbagai organisasi antarabangsa yang memperjuangkan demokrasi dan hak asasi manusia.

“Ramai aktivis muda ketika itu termasuk Muhammad Kamil sendiri pernah menyertai latihan, program pembangunan kepimpinan dan wacana yang didanai oleh dana asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurainie Haziqah turut mempersoalkan sama ada Muhammad Kamil tidak tahu, naif atau sengaja memilih untuk lupa diri selepas berada di tampuk kuasa.

“Anak muda tidak sepatutnya dihukum hanya kerana berani bercakap benar dan politik tidak boleh menjadi medan untuk seseorang menukar prinsip setelah mendapat kuasa.

“MUDA percaya integriti perlu konsisten dan tidak boleh berubah mengikut siapa yang sedang berada di pihak kita.

“Jika dahulu dukungan antarabangsa mereka anggap sebahagian daripada perjuangan demokrasi, maka jangan hari ini menggunakan naratif ‘dana asing’ semata-mata untuk menyerang atau melemahkan suara yang kritikal terutamanya anak muda, terhadap kerajaan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, gesaan agar Mandiri disiasat adalah bukti organisasi politik kerajaan takut akan suara yang melawan kebobrokan di negara ini selain meminta agar ruang wacana tidak disempitkan hanya kerana takut ditegur.

“MUDA akan terus mempertahankan hak anak muda untuk bersuara, mengkritik dan mempersoalkan kuasa tanpa rasa takut mahupun tunduk kepada politik lama yang penuh hipokrasi.

“Anak muda negara ini harus berani bersuara dan berhenti intimidasi terhadap anak muda,” katanya lagi.

Terdahulu, Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hadi mengarahkan peguam memulakan proses saman ke atas Muhammad Kamil susulan dakwaan kenyataan fitnah yang dibuat Muhammad Kamil pada 17 Mei lalu yang mengaitkan Mandiri dengan penerimaan dana asing dengan tujuan antara lain untuk propaganda politik, operasi tentera siber, mencatur naratif politik domestik, ancaman keselamatan negara serta proksi kepada kuasa asing.

Amir juga mendakwa, Muhammad Kamil turut menyebut bahawa terdapat tujuh transaksi sebanyak RM686,729 dibuat kepada Pengarah Eksekutif Mandiri serta beberapa yang lain yang turut dikaitkan dengan Mandiri.

Tambahnya, Surat Tuntutan (LoD) telah pun dihantar kepada Muhammad Kamil melalui e-mel, manakala LoD melalui serahan tangan akan dihantar kepadanya hari ini.

Susulan itu, Muhammad Kamil menerusi hantaran di Facebooknya mengesahkan sudah menerima LoD berkenaan yang diserahkan melalui Tetuan Daim & Gamany.

Katanya, beliau menghormati proses dan pendirian NGO terbabit yang mahu mencari kebenaran dan penjelasan berhubung kenyataanya mengenai aliran dana asing digunakan untuk membiayai propaganda serta kegiatan bertentangan undang-undang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast