KUALA LUMPUR – Kejayaan dalam akademik dan arena antarabangsa membolehkan dua graduan TVET Majlis Amanah Rakyat (MARA) meraih pengiktirafan cemerlang pada Majlis Konvokesyen Perdana Institusi Pengajian MARA (IPMA) 2026.
Atlet sukan negara, Musfirah Nur Ainaa Baiti Azmi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Graduan Terbaik bagi program Diploma in Integrated Logistics Management di Kolej Profesional MARA (KPM) Bandar Penawar.
Musfirah yang turut meraih pingat perak dan gangsa salam acara kriket pada Sukan SEA 2025 di Thailand berkata, beliau tidak menyangka terpilih menerima pengiktirafan tersebut.
“Saya sangat bersyukur kepada semua pensyarah yang banyak membantu sepanjang pengajian saya.

“Bagi saya, atlet perlu seimbangkan akademik dan sukan kerana walau sehebat mana kita dalam sukan, akademik tetap nombor satu,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.
Menurut anak kelahiran Pahang itu, penglibatannya dalam sukan bermula sejak usia 12 tahun dan cabaran beraksi di pentas antarabangsa banyak mematangkan dirinya.
Kini, beliau sedang melanjutkan pengajian dalam Ijazah Pengurusan Operasi di Universiti Teknologi Mara Puncak Alam.
Sementara itu, penerima Anugerah Pelajar Cemerlang TVET MARA, Muhammad Haziq Lailla Zamri pula berjaya mengharumkan nama negara menerusi pertandingan di peringkat antarabangsa.

Pelajar Diploma Kompetensi Elektrik (Kuasa) TVET MARA Johor Bahru itu pernah meraih pingat gangsa di pertandingan WorldSkills Malaysia sebelum memperoleh Medallion for Excellence pada edisi berikutnya.
Beliau turut memenangi pingat emas ASEAN TVET Friendly Match di Kuala Lumpur sebagai persediaan ke pertandingan WorldSkills ASEAN di Manila.
Kejayaan tersebut melayakkan beliau mewakili Malaysia ke WorldSkills ASEAN di Manila dan meraih pingat gangsa, sebelum memenangi pingat perak di WorldSkills Asia Taipei.
Beliau dijadual mewakili negara ke pertandingan WorldSkills di Shanghai pada September ini.
Haziq berkata, sokongan ibu bapa, jurulatih serta pihak institusi menjadi antara faktor utama kejayaannya dalam bidang diminati.
“Buatlah apa yang kita minat. Insya-Allah kalau ada rezeki, kita boleh pergi lebih jauh,” katanya. – MalaysiaGazette















