JOHOR BAHRU – Hubungan parti dalam kerajaan Perpaduan boleh terjejas jika berlaku pertandingan sesama sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pertembungan seperti itu agak janggal dan percaya keadaan tersebut akan memberi kesan terhadap kepercayaan rakyat.

“Suka atau tidak, kalau di negeri kita berlawan tetapi di Persekutuan masih bekerjasama dalam kerajaan, ia boleh menggugat elemen kepercayaan,” katanya dalam sidang akhbar di Kampung Baru Ban Foo, Ulu Tiram di sini hari ini.

Beliau berkata, sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik antara parti akan diputuskan di peringkat Pusat, namun PKR dan Pakatan Harapan (PH) Johor tetap bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Mengulas hasrat bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mahu bertanding termasuk di Johor menentang semua parti utama pada pilihan raya akan datang menerusi Parti Bersama yang diambil alihnya, beliau berkata, politik Johor kini semakin menjadi tumpuan.

Ahli Parlimen Tebrau itu berkata, Johor dilihat menjadi barometer politik negara apabila semakin banyak parti politik memberi tumpuan terhadap negeri itu bagi mengukur kekuatan dan sokongan rakyat menjelang pilihan raya akan datang.

Katanha lagi, Johor sentiasa menjadi tumpuan kerana dianggap negeri yang progresif dan sering menjadi penanda aras kepada landskap politik negera.

Jelasnya, situasi politik di Johor ketika ini tmenarik perhatian pelbagai pihak susulan spekulasi kemungkinan PRN akan diadakan pada bila-bula masa.

“Johor ini istimewa, rakyatnya ada semangat Bangsa Johor dan lebih progresif. Sebab itu ramai parti politik mahu bertanding di sini.

“Pilihan raya pula adalah asas kepada parti politik. Kalau tubuh parti tetapi tidak mahu bertanding, lebih baik jadi NGO,” katanya.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Wee Tse melihat pelan naik taraf projek di Kampung Baru Ban Foo, Ulu Tiram, Johor Bahru, hari ini.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast