Zuraidi Ismail

KUANTAN — Gelombang politik baharu yang dicetuskan Datuk Seri Rafizi Ramli mula melanda pahang apabila bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Indera Mahkota, Zuraidi Ismail mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama), hari ini.

Dalam kenyataan ringkas tetapi penuh mesej politik, Zuraidi mengakui beliau sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden PKR selain mendakwa perjuangan parti itu semakin jauh tersasar daripada semangat asal reformasi.

Bekas calon Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU1-5) itu bagaimanapun menegaskan beliau tidak pernah meninggalkan prinsip perjuangan yang diperjuangkannya selama ini.

““Dengan rasminya, saya keluar daripada PKR.

“Keputusan ini di buat kerana sudah hilang keyakinan kepada Presiden dan juga perjuangan PKR yang dilihat sudah tersasar daripada landasan perjuangan asal.

“Insya-Allah, saya akan terus mengekalkan prinsip yang sedia ada yang telah tersemat sekian lama untuk memberikan sumbangan kepada agenda kebaikan, ketelusan dan kesaksamaan memajukan negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Borang Permohonan Keluar PKR yang dilengkapkan oleh Zuraidi Ismail secara atas talian.

Penyertaan Zuraidi ke dalam Bersama dilihat antara perkembangan terbaharu yang berpotensi mencetuskan debaran politik dalam kalangan bekas pemimpin dan akar umbi PKR yang dikatakan semakin kecewa dengan hala tuju parti itu.

Jelasnya, beliau secara terbuka menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Rafizi dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang disifatkannya lebih berani, telus dan mempunyai keupayaan menyelesaikan isu rakyat.

“Semoga Allah sentiasa memberi petunjuk kepada diri dan rakan-rakan yang lain,” katanya.

Sebelum ini, landskap politik negara dikejutkan apabila Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan keluar daripada PKR sebelum mengambil alih sebuah parti politik dikenali sebagai Bersama.

Kedua-dua pemimpin kanan itu turut bertindak mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing di Pandan dan Setiawangsa berkuat kuasa Isnin lalu.

Pada 17 Mei lalu, seramai 12 pemimpin PKR turut mengesahkan penglibatan mereka dalam proses mengambil alih dan menggerakkan Bersama sebagai platform politik baharu.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengesahkan pilihan raya kecil (PRK) untuk kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa tidak akan diadakan.

Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan mengisi kekosongan luar jangka berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast