KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong hari ini dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) dalam Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Kali Kedua UKKM yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Pada majlis sama, Steven Sim turut menyampaikan sijil kepada 26 graduan menerima diploma dan ijazah melibatkan lima program akademik iaitu Diploma Pengurusan Koperasi; Diploma Keusahawanan Koperasi; Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Perniagaan (Cooperative Management), Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Perniagaan (Corporate Leadership) dan Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Perniagaan.
Sementara itu, dalam ucapannya, Steven Sim merakamkan penghargaan kepada Canselor terdahulu, Datuk Ewon Benedick atas kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang tempoh awal pembangunan UKKM.
“UKKM masih muda, tetapi usia muda ini sebenarnya kekuatan kita. Kita ditubuhkan dalam era revolusi AI.
“Justeru kita ada peluang untuk membina sebuah universiti yang benar-benar relevan dengan dunia baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementarau itu, Steven Sim turut berkongsi visinya untuk menjadikan UKKM bukan sahaja sebagai sekolah perniagaan terbaik di Malaysia, tetapi sebagai “AI-driven business school” yang melahirkan generasi baharu usahawan, pemimpin koperasi dan penggerak ekonomi masa depan.
Menurut beliau, UKKM perlu berpaksikan semangat gerakan koperasi yang diperjuangkan Tokoh Koperasi Negara, Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz, iaitu memajukan ekonomi rakyat, menjaga kebajikan rakyat serta membina perpaduan rakyat.
Tambahnya, sehingga Disember tahun lalu, gerakan koperasi di Malaysia telah mencatatkan perolehan hampir RM82 bilion, sekali gus membuktikan sektor koperasi dan keusahawanan mempunyai potensi besar untuk pembangunan kerjaya dan ekonomi negara.
Dalam majlis sama, Steven Sim turut memaklumkan bahawa Yayasan Bank Rakyat telah menyediakan biasiswa bernilai lebih RM4 juta bagi tempoh tiga tahun untuk pelajar UKKM.
Selain itu, Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi turut menaja lebih RM516,000, manakala Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah (JPANS) menyumbang RM158,000.
Secara keseluruhan, jumlah biasiswa yang boleh ditawarkan UKKM setakat ini telah menghampiri RM5 juta dengan kira-kira 50 pelajar sedang menikmati manfaat biasiswa tersebut setakat ini. – MalaysiaGazette
















Tahniah YB Steven Sim…