MAKKAH – Jangkitan paru-paru atau pneumonia dikenal pasti antara masalah kesihatan paling membimbangkan dalam kalangan jemaah haji Malaysia terutama menjelang operasi masyair di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Ketua Pakar Perubatan Haji, Dr. Taufik Rosli berkata, keadaan cuaca panas, keletihan melampau, kurang rehat dan pengambilan air yang tidak mencukupi menjadi antara faktor utama yang menyebabkan ramai jemaah mudah dijangkiti penyakit berkenaan.
Menurut beliau, kebanyakan jemaah terlalu bersemangat melakukan ibadah sehingga mengabaikan keperluan asas seperti tidur, hidrasi dan pengambilan ubat secara berkala.
“Apabila badan terlalu stres dan sistem imun menurun, jemaah mudah terkena jangkitan termasuk pneumonia. Tambahan pula di Tanah Suci ini jutaan jemaah dari seluruh dunia berkumpul dan membawa pelbagai jenis virus yang badan kita mungkin belum ada antibodi,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau yang juga pakar paru-paru berkata, ada dalam kalangan jemaah kekurangan air dalam badan apabila mereka terlalu lama berada di Masjidil Haram tanpa minum air kerana bimbang kerap ke tandas.
“Ada jemaah dari waktu Zuhur sampai Maghrib tidak minum air. Bila balik bilik pula terlalu letih lalu terus tidur tanpa menggantikan semula cecair badan.
“Hydration atau pengambilan air yang cukup sebenarnya sangat penting kerana kebanyakan masalah kesihatan di sini berpunca daripada dehidrasi,” katanya.
Selain pneumonia, beliau berkata, pasukan perubatan turut melihat peningkatan kes tekanan darah tinggi dan serangan jantung yang berkait rapat dengan keletihan serta kegagalan mengambil ubat mengikut jadual.
Katanya, terdapat juga jemaah yang menyembunyikan simptom penyakit kerana takut dihantar ke hospital Arab Saudi sehingga keadaan mereka menjadi lebih serius.
“Ada yang sebenarnya sudah sakit hampir 10 hari tetapi simpan sendiri sebab takut masuk hospital. Bila datang mendapatkan rawatan, keadaan sudah semakin teruk,” katanya.
Menurut Dr. Taufik, bagi memastikan rawatan dapat diberikan lebih cepat, pihaknya memperkenalkan klinik pakar bergerak di maktab-maktab pada musim haji kali ini.
Katanya, pendekatan itu membolehkan jemaah terus berjumpa pakar tanpa perlu melalui proses rujukan yang panjang seperti sebelum ini.
“Kalau sebelum ini pakar hanya berada di pusat rawatan tertentu, tahun ini kami sendiri turun ke maktab. Saya akan pergi sendiri ke maktab untuk melihat pesakit yang mengalami masalah pernafasan dan pneumonia,” tambah beliau.
Beliau berkata, pendekatan itu juga membantu pasukan perubatan mengenal pasti lebih awal jemaah berisiko tinggi sebelum operasi masyair bermula.
“Pesakit-pesakit ini kita akan tagging sebagai pesakit yang berisiko tinggi dan diberi pemantauan rapi,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengakui operasi perubatan musim ini lebih mencabar berbanding tahun lalu susulan tiada lagi pusat rawatan pesakit dalam dibenarkan beroperasi.
Katanya, keadaan itu menyebabkan pasukan perubatan mempunyai masa terhad untuk memantau pesakit sebelum terpaksa menghantar mereka ke hospital.
“Kalau di Malaysia kita boleh tahan pesakit dalam wad untuk pantau tekanan darah atau oksigen tetapi tahun ini kita tiada kemudahan itu.
“Kadang-kadang kita cuba beri rawatan intensif di klinik kecemasan supaya keadaan pesakit stabil dalam tempoh singkat sebelum membuat keputusan sama ada perlu dihantar ke hospital atau tidak,” katanya.
Mengulas persiapan menghadapi masyair, beliau berkata, pasukan perubatan kini berada dalam keadaan siap siaga kerana tempoh itu dijangka menjadi kemuncak operasi dan menyumbang hampir 50 peratus beban tugas keseluruhan.
“Kita sentiasa ingatkan petugas terutama yang pertama kali datang bahawa cabaran sebenar adalah ketika masyair. Walaupun hanya lima hari, itulah tempoh paling kritikal,” jelasnya.
Beliau turut menasihatkan jemaah supaya segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami simptom seperti batuk berpanjangan, demam atau sesak nafas dan tidak menunggu sehingga keadaan menjadi serius.
“Kalau datang awal, kita boleh rawat lebih awal dan cegah keadaan daripada menjadi lebih buruk,” katanya. – MalaysiaGazette
















