KUALA LUMPUR – Anak kepada bekas pengendali skuad bawah 19 tahun negara, Bojan Hodak iaitu Luka Jordy Hodak antara nama yang mencuri perhatian dalam senarai 26 pemain dipanggil menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya B-19 sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan B-19 ASEAN 2026 di Medan, Indonesia dari 1 hingga 13 Jun ini.
Senarai pemain berkenaan diumumkan ketua jurulatih skuad muda negara, Nafuzi Zain dengan kem latihan pusat dijadual bermula semalam.
Kehadiran Jordy yang kini beraksi bersama NK Trnje FC sebelum ini sudah menjadi perhatian selepas pemain berusia 18 tahun itu memberi bayangan dipanggil menyertai skuad Malaysia menerusi hantaran di media sosial.
Jordy juga bukan nama asing dalam bola sepak tempatan memandangkan bapanya, Bojan pernah mengendalikan skuad bawah 19 tahun negara selain beberapa kelab Liga Malaysia sebelum ini.
Kehadiran Pravinash dilihat memberi gambaran bahawa pemain daripada kelab swasta juga masih mempunyai peluang untuk menembusi skuad kebangsaan jika menampilkan prestasi konsisten.
Dalam senarai kali ini, dominasi pemain akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) jelas ketara apabila majoriti pemain dipanggil hadir daripada skuad JDT III dan JDT IV.
Selangor FC turut menyumbang beberapa pemain termasuk daripada skuad Selangor FC II, B-20 dan B-18.
Bagi kempen di Indonesia nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Singapura, Brunei dan naib juara edisi 2024, Thailand.
Skuad negara akan membuka kempen menentang Singapura pada 2 Jun sebelum bertemu Brunei pada 5 Jun dan Thailand pada 8 Jun depan. – MalaysiaGazette















