KUALA LUMPUR – Rakyat diingatkan supaya tidak mengulangi episod ketidakstabilan politik yang menyaksikan negara bertukar tiga Perdana Menteri dalam tempoh singkat sehingga menjejaskan ekonomi dan kehidupan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr G. Gunaraj berkata, kestabilan politik ketika ini perlu dipertahankan bagi memastikan kerajaan dapat terus memberi tumpuan kepada isu rakyat termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan anak-anak dan pemulihan ekonomi negara.
“Kita tidak mahu kembali kepada keadaan tidak stabil seperti dahulu. Bila kerajaan asyik bertukar, rakyat juga yang terkesan.
“Rakyat hari ini mahu pendapatan stabil, makanan cukup di rumah, anak-anak boleh belajar dengan baik dan masa depan lebih terjamin,” katanya ketika berucap pada Program Ceramah Isu Semasa Pakatan Harapan Parlimen Kota Raja pagi ini.
Beliau berkata, kerajaan hari ini merupakan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk membabitkan lebih 15 parti termasuk dari Sabah dan Sarawak selepas Pakatan Harapan (PH) tidak memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.
Katanya, mandat membentuk kerajaan diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan negara mempunyai pentadbiran yang stabil.
Dalam pada itu, Gunaraj berkata, reformasi yang dilaksanakan kerajaan memerlukan masa dan tidak boleh diselesaikan dalam tempoh singkat.
“Kita tidak boleh harap hari ini buat keputusan, esok semua selesai. Banyak program sudah berjalan termasuk inisiatif Madani dan pelbagai perancangan lain untuk bantu rakyat,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan kemasukan pelaburan asing penting untuk meningkatkan ekonomi negara, membuka peluang pekerjaan dan membantu mengawal tekanan kos sara hidup.
Menurutnya, kerajaan juga sedang melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program bantuan dan jualan murah seperti Jelajah Ihsan bagi meringankan beban rakyat.
Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini serta mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan naratif negatif di media sosial.
“Kadang-kadang media sosial hanya cari salah dan cuba kelirukan rakyat. Sebab itu penting untuk kita beri penerangan supaya masyarakat faham situasi sebenar,” katanya.
Beliau kemudian menyeru rakyat memberi peluang kepada Kerajaan Madani meneruskan agenda pentadbiran dan pembangunan negara demi memastikan kestabilan terus terpelihara menjelang pilihan raya akan datang. – MalaysiaGazette
















