KUALA LUMPUR – Mydin Mohamed Holdings Berhad tampil menghulurkan bantuan kepada seorang peniaga muda, Nor Atheerah Nadzirah Mior Ikram Shah yang menjadi mangsa samun ketika berniaga di gerai nasi bajet milik keluarganya di Jalan Lebuh Meru Raya, Ipoh di sini baru-baru ini.
Menurut Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin, bantuan itu disalurkan sebagai tanda sokongan dan keprihatinan syarikat terhadap keluarga terbabit yang berdepan detik sukar selepas kejadian berkenaan.
Katanya, sumbangan berupa barangan keperluan harian serta baucar tunai disampaikan melalui pengurusan cawangan Mydin Meru Raya memandangkan lokasi gerai mangsa terletak berhampiran premis berkenaan.
“Mydin berharap sumbangan kecil ini dapat membantu keluarga berkenaan meneruskan perniagaan serta memberi semangat untuk terus tabah menghadapi ujian.
“Kami memahami cabaran yang dihadapi peniaga kecil terutama apabila berdepan kejadian tidak diduga seperti ini.
“Sebagai syarikat tempatan, kami sentiasa mahu bersama masyarakat dan membantu setakat yang termampu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bantuan itu juga merupakan sebahagian usaha Mydin untuk terus menyantuni komuniti setempat yang ditimpa kesusahan selain memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari Khamis lalu itu, dua suspek menunggang motosikal yang menyamar sebagai pelanggan melarikan sebuah peti wang mengandungi wang tunai RM300 serta sebuah telefon bimbit jenis iPhone 13 milik Nor Atheerah.
Kejadian tersebut mendapat perhatian ramai selepas tular di media sosial menerusi rakaman video berdurasi satu minit 25 saat yang dirakam Nor Atheerah, 21, ketika sedang bersiaran langsung di aplikasi TikTok.
Rakaman itu memaparkan mangsa dalam keadaan sebak menceritakan detik cemas kejadian samun berkenaan sehingga mengundang simpati netizen yang rata-ratanya tersentuh dengan nasib keluarga terbabit yang mencari rezeki melalui jualan nasi bajet.
Susulan video tular itu, ramai pengguna media sosial tampil memberikan kata-kata semangat selain berharap pihak berkuasa dapat segera mengesan suspek terlibat.
Mydin dalam kenyataan sama turut menegaskan komitmennya untuk terus bersama masyarakat serta membantu golongan memerlukan selaras aspirasi syarikat dalam memperkukuh semangat kebersamaan komuniti. -MalaysiaGazette















