KUALA LUMPUR – Rakyat jangan terpengaruh dengan permainan politik perkauman dan agama yang dijangka semakin agresif menjelang pilihan raya akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Abbas Azmi mengingatkan, terdapat pihak tertentu yang akan menggunakan sentimen bangsa dan agama untuk memecah-belahkan masyarakat serta menimbulkan kebencian terhadap kerajaan perpaduan.
“Semakin dekat pilihan raya, semakin ramai yang bertopengkan agama dan bangsa akan cuba cucuk rakyat dengan isu perkauman.
“Mereka mahu masyarakat bergaduh sesama sendiri sedangkan kerajaan negeri hari ini fokus membantu rakyat tanpa mengira kaum atau warna kulit,” katanya ketika berucap pada program Ceramah Isu Semasa Pakatan Harapan Parlimen Kota Raja di Shah Alam hari ini.
Menurut Abbas, kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari terus menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat walaupun berdepan cabaran ekonomi global dan peningkatan kos sara hidup.
Katanya, Selangor merekodkan hasil negeri sekitar RM3 bilion tahun lalu namun masih mampu menyediakan pelbagai inisiatif kebajikan kepada kira-kira 7.4 juta penduduk.
Beliau berkata, antara bantuan disediakan termasuk program Bingkas, baucar perayaan serta bantuan haji RM1,500 yang menurutnya tidak mampu ditawarkan di beberapa negeri lain.
“Daripada lahir sampai meninggal dunia ada bantuan untuk rakyat. Kerajaan negeri ada 46 inisiatif untuk bantu rakyat. Yang penting bantuan ini bukan tengok Melayu, Cina atau India. Kalau rakyat memerlukan, kerajaan bantu,” katanya.
Dalam pada itu, Abbas berkata, pengurusan kerajaan negeri kini lebih baik terutama dalam isu bekalan air dan banjir berbanding beberapa tahun lalu.
Katanya, kawasan seperti Bukit Lancong yang sebelum ini sering dilanda banjir kini menunjukkan banyak perubahan hasil usaha kerajaan negeri.
“Dulu Seri Serdang antara hotspot banjir, sekarang banyak kawasan sudah semakin baik. Memang Selangor masih ada isu banjir tapi kita akui dan cari jalan selesaikan bukan sekadar cakap,” katanya.
Pada masa sama, Abbas berkata, pentadbiran Selangor di bawah Pakatan Harapan memberi penekanan terhadap soal integriti dan tadbir urus bersih.
Menurutnya, dana kerajaan dapat disalurkan semula kepada rakyat kerana ketirisan dan salah guna kuasa dapat dikawal.
“Kita bukan kata kerajaan ini sempurna tetapi kita jaga integriti. Bila kurang rasuah dan ketirisan, duit itu boleh dipulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk bantuan,” katanya.
Beliau turut menolak dakwaan kononnya kerajaan negeri mengabaikan institusi Islam dengan menegaskan tiada masjid dirobohkan, imam dipecat atau tadika Islam ditutup di Selangor.
Dalam ucapannya, Abbas turut memaklumkan kerajaan negeri akan meneliti semula isu peningkatan elaun guru Pasti menerusi Exco agama negeri. – MalaysiaGazette
















