Foto IG Aznil Nawawi.

KUALA LUMPUR – Pengacara Datuk Aznil Nawawi berjaya mengumpul wang berjumlah RM137,127.90 bagi membantu kos perubatan anak kepada aktres Amyza Aznan yang disahkan menghidap kanser tulang hasil sumbangan orang ramai,

Aznil, 64, memberitahu jumlah berkenaan berjaya dikumpul selepas lebih 50 jam memulakan kutipan Bantuan Adrian Adam menerusi akaun peribadi miliknya sejak Rabu lalu.

“Selepas lebih 50 jam tabung kilat Adrian Adam, anak kepada Amyza Aznan yang diuji dengan kanser tulang, wang terkumpul setakat ini adalah RM137,127.90.

“Saya akan pindahkan semua wang ini kepada akaun Amyza. Yang masih mahu menyumbang, silakan sebelum saya tutup tabung ini secara rasmi pada bila-bila masa,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya semalam

Dia turut menjemput Amyza bersama anaknya, Adrian, hadir dalam satu sesi siaran langsung podcast Kita Kita Aje bagi menyerahkan sumbangan yang diterima.

“Ini adalah wang untuk tujuan rawatan Adrian yang diamanahkan kepada saya dan saraan Amyza sekeluarga.

“Saya tahu wang ini sangat bermakna dan tahu kos rawatan untuk kanser bukan murah,” ujarnya.

Amyza dilihat tidak dapat menahan air mata ketika Aznil membacakan jumlah tersebut apabila terharu atas keprihatinan orang ramai yang sudi memberi bantuan.

“Terima kasih kerana berada dalam kasut saya. Saya tidak minta semua ini. Saya hilang kata-kata,” ucapnya.

Rabu lalu, Aznil mengumumkan tentang kutipan dana berkenaan dan menyeru orang ramai untuk tampil membantu.

Pengacara itu turut menunjukkan bukti dia mengosongkan akaun peribadi miliknya sebelum memulakan kutipan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast