ISKANDAR PUTERI – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan suhu politik di Johor semakin ‘panas’, dipercayai merujuk kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang semakin hampir.
Pengurusi Barisan Nasional (BN) Johor itu berkata, walaupun keadaan semakin ‘panas’ diharap Bangsa Johor tetap menjaga adab dan meneruskan budaya serta cara berpolitik orang Johor.
“Dalam suhu politik di negeri Johor yang semakin meningkat ini, emotions are high. Tapi saya nak ingatkan anak-anak muda, Johor ada cara.. Dalam berpolitik ini, tolong jaga adab kita. Dekat Johor, tak kira Melayu, Cina. Kita, kita semua satu bangsa, iaitu Bangsa Johor.
“Saya yakin anak-anak Johor, budak-budak Johor, semuanya punyak kewarasan. Mempunyai kecerdikan untuk memilih pilihan yang tiba,” katanya.
Onn Hafiz yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata demikian dalam sesi santai Lepak Dengan Budak Ni! di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Iskandar Puteri di sini kelmarin.
Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros.
Beliau berkata, meskipun begitu agenda untuk membangunkan negeri perlu diteruskan dan tidak boleh diabaikan.
“Itu kita tak boleh lupa ni sebab sebagai pemimpin itu tugas kita. Saya yakin anak-anak muda yang berkumpul dengan saya pada hari ini nak tengok negeri Johor yang lebih baru dari hari ini betul ke tidak?
“Sebab itu agenda kita maju Johor. Betul. Wawasan dan gagasan yang kita bawa ini supaya negeri ini terus membangun,” ujar beliau lagi.
Menurutnya, antara kumpulan yang paling penting adalah anak-anak muda dari Johor yang perlu bangkit bersama-sama dalam satu arus untuk membangunkan negeri ini.- MalaysiaGazette
















