SHAH ALAM – Menjelang sambutan Aidiladha esok, semangat kebersamaan di Sungai Kandis diterjemahkan menerusi pengagihan 500 ekor ayam segar, 600 kilogram beras serta tujuh ekor lembu korban kepada penduduk setempat.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ahmad Danish Hairudin berkata, program kebajikan yang digerakkan bersama pasukan Pusat Khidmat Komuniti Sungai Kandis sejak seminggu lalu itu bukan sekadar bantuan sempena Aidiladha.
Sebaliknya, kata beliau, ia juga usaha menyantuni masyarakat dan mengeratkan hubungan bersama penduduk.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, agihan dilakukan secara terus dari rumah ke rumah selain melibatkan masjid, surau, madrasah dan persatuan penduduk di sekitar Sungai Kandis bagi memastikan lebih ramai keluarga dapat merasai keberkatan sambutan Aidiladha tahun ini.
Menurutnya, Aidiladha bukan sekadar ibadah korban, tetapi membawa mesej pengorbanan, kasih sayang dan kebersamaan dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Kami mahu memastikan tiada keluarga yang merasa tersisih atau dilupakan ketika orang lain bergembira menyambut hari kebesaran ini.
“Kadang-kadang bukan soal besar atau kecil sumbangan itu, tetapi nilai ingatan dan keprihatinan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, program turun padang itu turut membuka ruang mendengar sendiri suara penduduk selain memperkukuhkan hubungan silaturahim bersama komuniti setempat.
“Melihat senyuman masyarakat ketika menerima sumbangan menjadi satu kepuasan buat saya dan pasukan untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
“Semoga setiap bantuan kecil ini dapat membawa sedikit kegembiraan kepada keluarga-keluarga di Sungai Kandis dan menjadi asbab keberkatan buat kita semua sempena Aidiladha,” ujarnya lagi.
Dalam hantaran sama, Danish memaklumkan bantuan yang diagihkan melibatkan penduduk, masjid, surau, madrasah serta persatuan penduduk di seluruh kawasan Sungai Kandis.
Beliau turut menzahirkan harapan agar semangat pengorbanan dan budaya saling membantu yang dibawa sempena Aidiladha dapat terus diperkukuhkan dalam masyarakat tanpa mengira latar belakang. -MalaysiaGazette















