KLUANG – Setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha, bulatan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) di bandar ini akan sibuk.
Ini kerana terdapat sebuah kedai menjual lemang Sarawak yang menjadi tumpuan setiap kali ketibaan dua perayaan tersebut.
Asap tebal dan deretan kenderaan yang bergerak perlahan atau diparkir di tepi jalan boleh dilihat, malah seperti satu suasana wajib setiap kali tiba Aidilfitri atau Aidiladha.
Peniaga, Adnan Ibrahim, 57, kerap tidak cukup tangan setiap kali tiba musim perayaan itu malah kadang-kadang habis awal kerana turut ditempah pelanggan dari Singapura.
Bagi memenuhi permintaan pembeli, dia dibantu anak-anak dan pekerja menyediakan 1,000 batang lemang Sarawak yang mempunyai keunian dan citarasanya tersendiri.
Dia tidak menyangka perniagaan yang dijalankan berhampiran Mardi itu sejak 2005 semakin mendapat sambutan dan dikenali termasuk mereka dari luar daerah.
“Kebiasaannya, saya banyak tumpukan menjual lemang Sarawak ini menjelang Hari Raya Aidilfitri termasuk menyiapkan tempahan untuk rumah terbuka sepanjang Syawal.
“Tak sangka pula untuk Aidiladha ini ada pelanggan yang menghubungi untuk membuat tempahan. Daripada 1,000 batang lemang yang akan disiapkan, 400 daripadanya untuk pelanggan dari Singapura,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Adnan, resipi dan cara pembuatan lemang Sarawak sedikit berbeza dengan lemang tradisi yang biasa dimakan di Semenanjung menjadikannya unik dan ada penggemarnya sendiri.
Pesara tentera itu berkata, ini merupakan resipi turun-temurun yang dipelajari daripada arwah bapanya yang merupakan anak jati Sarawak.
“Saya belajar resipi ini sejak dari bangku sekolah lagi dan mula menjualnya secara sambilan ketika berada dalam tentera.
“Sebaik sahaja bersara selepas 22 tahun dalam perkhidmatan, saya mula berniaga secara sepenuh masa sejak 2010. Alhamdulillah, perniagaan ini semakin maju dan mula dapat permintaan pelanggan dari Singapura sejak tiga tahun lalu,” ujarnya.
Tambahnya, lemang Sarawak yang dijual berharga RM15, RM20 dan RM25 mengikut saiz buluh lemang.
Selain lemang, Adnan turut menjual makanan tradisional seperti burasak dan lepat loi serta rendang daging. – MalaysiaGazette
















