KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan pelantikan Naib Presiden, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai pengarah pilihan raya bersama parti itu, menggantikan Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, pelantikan Amirudin dibuat bersama Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang kekal berperanan sebagai pengarah pilihan raya bersama.
Menurut beliau, penyusunan semula gerak kerja strategik pilihan raya itu dilakukan hasil mesyuarat parti itu semalam bagi memperkukuh kesiapsiagaan parti menghadapi pilihan raya akan datang.
“Nurul Izzah akan terus memainkan peranan strategik dengan memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan kapasiti jentera dan gerak kerja parti ke arah yang lebih kukuh dan tersusun.
“Tumpuan ini sebahagian daripada pelaburan parti terhadap setiap anggota akar umbi supaya kekuatan PKR terus dibina secara menyeluruh, berterusan dan berakar di semua peringkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh dilantik sebagai pengarah pilihan raya selepas pemilihan PKR menyaksikannya menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli bagi kerusi Timbalan Presiden.
Sementara itu, Fuziah berkata, Biro Politik PKR yang bermesyuarat semalam turut bersetuju melantik Ketua PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin sebagai pengarah bilik gerakan utama pilihan raya atau ‘war room’, dibantu Datuk Ruji Ubi.
“Pelantikan ini sebahagian daripada penyusunan semula strategik parti bagi memastikan gerak kerja pilihan raya PKR terus diperkemas, diselaraskan dan digerakkan secara lebih menyeluruh di semua peringkat,” katanya. – MalaysiaGazette
















