KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung menegur sikap segelintir umat Islam yang disifatkan semakin apologetik dalam menzahirkan syiar agama semata-mata mahu dilihat harmoni dan menjaga sensitiviti pihak lain.
Menurut beliau, Islam sememangnya mengajar umatnya menghormati serta bertoleransi dengan penganut agama lain, namun ia bukan bermaksud umat Islam perlu menyembunyikan atau malu menzahirkan syiar agama sendiri seperti azan dan ibadah korban.
Katanya, al-Quran sendiri melarang umat Islam mencerca sembahan agama lain, malah Islam turut menegah perbuatan memusnahkan rumah ibadat seperti tokong, kuil dan gereja walaupun ketika peperangan.
“Islam mengajar toleransi dengan penuh jelas. Namun persoalannya, kenapa ada Muslim yang terlalu apologetik sehingga meminta umat Islam tidak memuat naik atau menzahirkan syiar agama sendiri?” katanya menerusi hantaran di media sosialnya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada golongan tersebut turut membuat seruan sama kepada penganut agama lain agar tidak memuat naik gambar sambutan serta syiar agama masing-masing ketika musim perayaan.
Tambahnya, umat Islam tidak pernah melenting apabila rakan daripada agama lain berkongsi sambutan keagamaan mereka di media sosial, malah ada dalam kalangan Muslim sendiri yang paling awal mengucapkan tahniah dan menzahirkan semangat keharmonian.
Menurut Firdaus Wong, berbangga dengan Islam dan syiar agama bukan bermaksud menzalimi atau tidak menghormati agama lain, sebaliknya Islam sendiri menuntut agar hak penganut agama lain dipelihara.
Beliau turut mengingatkan tentang satu kata-kata yang dinisbahkan kepada Saidina Umar Ibn Khattab mengenai kebimbangan terhadap satu zaman apabila golongan bukan Islam berbangga dengan kekufuran mereka, manakala umat Islam pula malu dengan keislaman sendiri.
“Adakah kita sedang melihat zaman itu?” soalnya.
Terdahulu, Firdaus menerusi hantaran di Facebook berkongsi satu kaspyen yang bertulis “jangan upload gambar binatang sembelihan korban di social media. Ambil gambar boleh simpan untuk diri sendiri. Tak perlu upload2. Tolong ada common sense sikit”. – MalaysiaGazette
















