KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), G Sivamalar menyifatkan dapatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berhubung insiden di Penjara Taiping sebagai sesuatu yang amat membimbangkan dan tidak boleh dipandang ringan.
Beliau berkata, isu berkenaan tidak boleh dianggap sekadar kes salah laku biasa dalam institusi tahanan kerana ia membabitkan dakwaan serius termasuk unsur kekerasan, penderaan, kecuaian rawatan perubatan serta kemungkinan cubaan melindungi pihak tertentu.
“Sekiranya benar berlaku penyalahgunaan kuasa dan pengabaian terhadap tahanan, maka tindakan tegas mesti diambil tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
“Rakyat mahu melihat ketelusan dan keadilan, bukannya budaya melindungi kesalahan dalam institusi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu berkata, Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 5 menjamin hak setiap individu terhadap nyawa dan kebebasan diri termasuk mereka yang berada dalam tahanan.
Menurutnya, walaupun seseorang ditahan mengikut proses undang-undang, mereka tetap mempunyai hak sebagai manusia dan perlu dilindungi daripada sebarang bentuk kekejaman, penderaan atau layanan tidak berperikemanusiaan.
Sivamalar berkata, dakwaan melibatkan laporan palsu, kelewatan siasatan serta kegagalan memberi rawatan sewajarnya juga merupakan perkara serius yang memerlukan perhatian segera pihak berkuasa.
“Kerajaan Madani yang membawa agenda reformasi, keadilan dan tata kelola baik tidak boleh sesekali berkompromi dalam isu melibatkan integriti institusi penguat kuasa.
“Sebarang cubaan menutup kesalahan hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengakui kerajaan ketika ini sedang melaksanakan pelbagai usaha reformasi institusi bagi memperkukuh tadbir urus dan akauntabiliti negara.
Katanya, selari dengan semangat reformasi tersebut, sudah tiba masanya reformasi melibatkan sistem penjara dan tahanan turut diberikan perhatian serius termasuk aspek pemantauan bebas, kebajikan tahanan, prosedur rawatan perubatan serta pematuhan hak asasi manusia.
Beliau turut menegaskan kenyataannya bukan bertujuan menyerang institusi penjara atau anggota penguat kuasa secara keseluruhan kerana majoriti petugas menjalankan amanah dengan profesional dan penuh integriti.
“Namun, mempertahankan nama baik institusi juga bermaksud keberanian untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan,” katanya.
Sehubungan itu, Sivamalar menggesa kerajaan memastikan satu siasatan bebas, telus dan menyeluruh dijalankan terhadap semua aspek insiden berkenaan agar kebenaran dapat ditegakkan dan keadilan benar-benar dapat diberikan. – MalaysiaGazette
















