(Dari kiri ke kanan) Mohamad Shiblie Abg Sapuan, Ketua Pegawai Perbankan Perniagaan Bank Rakyat; Samad Majid Zain Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank; Mohamed Nazri Omar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC; Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Ketua Setiausaha KUSKOP; Steven Sim; Datuk Mohammed Hussein, Pengerusi CGC; Sean Tan, Ketua Pegawai Perniagaan CGC; Rizal Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia; Nazrul Hisyam, Ketua Pegawai Strategi CGC.

KUALA LUMPUR – Usaha berterusan masih diperlukan bagi mengurangkan kos pembiayaan bagi Perusahaan Kecil, Mikro dan Sederhana (PMKS), di samping membantu perusahaan yang masih kurang mendapat liputan sistem kewangan arus perdana untuk mendapat akses kepada pembiayaan dan modal kerja.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata perkara itu amat penting ketika negara sedang berdepan Krisis Bekalan Global susulan ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi akibat konflik Timur Tengah yang telah menyumbang kepada peningkatan kos operasi PMKS.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan peranan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd. (CGC) dalam membantu merapatkan jurang pembiayaan ini menerusi skim jaminan, khidmat nasihat kewangan dan inisiatif pemudah cara pembiayaan.

“Ramai PMKS, khususnya perusahaan mikro dan kecil, masih menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan, terutamanya disebabkan rekod kredit yang terhad serta kos pembiayaan yang tinggi,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat bersama CGC di pejabatnya, di Putrajaya.

Terdahulu, CGC mengadakan kunjungan hormat ke Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi membincangkan usaha memperkukuh akses pembiayaan dan akses modal bagi PMKS di Malaysia.

Dalam mesyuarat tersebut, CGC turut memberi taklimat kepada KUSKOP mengenai beberapa inisiatif yang sedang dilaksanakan, termasuk skim jaminan kredit, kemudahan pembiayaan, latihan pemasaran digital, program pembangunan usahawan belia serta sesi jaringan PMKS di seluruh negara.

Dalam pada itu, Steven meminta agensi di bawah KUSKOP, khususnya SME Corp. Malaysia, supaya memperkukuh kerjasama dengan CGC serta meningkatkan usaha hebahan bagi memperluas kesedaran dalam kalangan perusahaan mengenai maklumat pembiayaan, pilihan bantuan dan saluran pembiayaan yang bersesuaian.

Platform yang terlibat termasuk MyKNP dan imSME yang disokong oleh CGC dan Bank Negara Malaysia.

Tambah beliau, KUSKOP menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan institusi kewangan, institusi kewangan pembangunan serta rakan ekosistem bagi mempertingkat akses pembiayaan, memperkukuh daya tahan PMKS dan menjayakan agenda “Hebatkan Perniagaan Malaysia”. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast