Dr. Sathia Prakash Nadarajan

PETALING JAYA Cadangan pembangunan sebuah hospital kerajaan di sini merupakan langkah yang wajar diberi perhatian apatah lagi kerajaan negeri dan kerajaan pusat bekerjasama mencari tapak fasiliti kesihatan itu perlu dihargai.

Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, Dr N. Sathia Prakash berkata, walaupun Petaling Jaya mempunyai penduduk dan keperluan kesihatan yang tinggi namun keperluan sama di kawasan semi urban dan luar bandar seperti Hulu Selangor tidak wajar dikesampingkan.

“Cadangan pembinaan hospital kerajaan di Petaling Jaya merupakan perkembangan yang baik untuk rakyat namun dalam masa sama, kita juga perlu melihat keperluan kawasan lain yang tidak kurang pentingnya, khususnya semi urban dan luar bandar seperti Hulu Selangor,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan Hospital Petaling Jaya bakal dibina dengan konsep vertikal dan mampu menampung kapasiti 500 katil.

Amirudin berkata, konsep vertikal sama sebelum ini sudah dilaksanakan di Hospital Ampang tanpa perlu bergantung kepada tanah yang terlalu luas dan mengoptimumkan kos bagi Kementerian Kesihatan (KKM).

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebuah kompleks sukan moden di tapak seluas enam hektar, X Park PJ South di Taman Medan dikenal pasti sebagai tapak pembinaan hospital awam bagi keperluan penduduk Petaling Jaya, Subang dan Puchong.

Menurut Sathia, situasi di Hulu Selangor jauh berbeza berbanding kawasan bandar utama seperti Petaling Jaya yang dikelilingi pelbagai kemudahan kesihatan.

“Ini termasuklah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), hospital swasta dan pusat rawatan lain yang lebih mudah diakses penduduk bandar,” katanya.

Jelas Dr Sathia, Hulu Selangor yang meliputi hampir 20 peratus keluasan Selangor dan mempunyai kira-kira 300,000 penduduk masih belum memiliki sebuah hospital pakar kerajaan berskala besar bagi memenuhi keperluan rakyat setempat.

“Hulu Selangor bukan sekadar kawasan perumahan baharu, tetapi turut melibatkan banyak kawasan kampung, 16 Kampung Orang Asal, empat kawasan Felda, pekan kecil dan kawasan pedalaman yang memerlukan akses kesihatan lebih dekat dan menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, ramai penduduk Hulu Selangor ketika ini masih bergantung kepada hospital di luar daerah seperti Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Slim River di Perak untuk mendapatkan rawatan pakar.

“Jarak perjalanan ke hospital-hospital tersebut boleh mencecah antara 40 hingga 60 kilometer (km) bergantung kepada lokasi penduduk, sekali gus menyukarkan akses rawatan terutama ketika kecemasan.

“Dengan pertumbuhan pesat penduduk serta pembangunan perumahan dan kawasan industri baharu di Hulu Selangor, beban terhadap hospital-hospital utama di Lembah Klang dijangka terus meningkat sekiranya tiada hospital besar diwujudkan di daerah ini,” jelasnya.

Dr Sathia berkata, keadaan itu menyebabkan hospital bandar bukan sahaja perlu menampung penduduk kawasan masing-masing, malah turut menerima kemasukan pesakit dari luar daerah seperti Hulu Selangor.

“Dalam jangka panjang situasi tersebut berpotensi menyebabkan kesesakan hospital menjadi lebih kritikal dan memberi tekanan terhadap sistem kesihatan sedia ada,” katanya.

Beliau menegaskan, faktor masa amat penting dalam bidang kesihatan, khususnya melibatkan kes kecemasan seperti strok, serangan jantung, trauma, kemalangan jalan raya dan kehamilan berisiko tinggi.

“Apabila berlaku kecemasan, setiap minit amat berharga. Perjalanan terlalu jauh ke hospital boleh menyebabkan kelewatan rawatan dan menjejaskan peluang pesakit untuk sembuh.

“Malah dalam keadaan tertentu boleh menentukan hidup dan mati,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan, pembangunan sistem kesihatan yang adil dan seimbang tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kawasan bandar atau kawasan utama sahaja.

“Penduduk Hulu Selangor juga membayar cukai, menyumbang kepada pembangunan negeri dan berhak mendapat akses penjagaan kesihatan yang lebih dekat, cepat dan berkualiti.

“Kesihatan rakyat di kawasan semi urban dan luar bandar juga sama penting,” katanya.

Beliau turut menggesa supaya cadangan pembinaan sebuah hospital pakar kerajaan di Hulu Selangor dibincangkan secara serius.

“Ini kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat daerah itu, malah mampu membantu mengurangkan beban hospital utama di bandar.

“Hospital Petaling Jaya penting tetapi Hospital Hulu Selangor juga sama penting.

“Pembangunan kesihatan yang adil bukan hanya melihat di mana penduduk paling ramai, tetapi juga melihat siapa yang paling jauh daripada akses rawatan ketika mereka benar-benar memerlukannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hospital Petaling Jaya perkukuhkan kesihatan awam – Halimey

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast