MUAR – Permintaan terhadap inap desa di negara ini terus menunjukkan perkembangan positif susulan minat pelancong yang mahu merasai pengalaman budaya dan kehidupan komuniti tempatan di setiap negeri.
Pengarah Kanan Bahagian Pengiklanan dan Digital Tourism Malaysia, Akbal Setia berkata, setiap negeri mempunyai identiti tersendiri yang mampu memberikan pengalaman berbeza kepada pelancong domestik mahupun antarabangsa.
“Produk pelancongan di Semenanjung berbeza dengan yang terdapat di Sabah dan Sarawak, sekali gus menjadikan Malaysia sebuah destinasi pelancongan yang seimbang serta kaya dengan kepelbagaian budaya.
“Kalau kita lihat, ia lebih seimbang kerana tarikan di Semenanjung lain, Sabah dan Sarawak juga lain. Di Sabah contohnya, kita mempunyai inap desa yang sentiasa penuh setiap bulan dengan kehadiran pelancong antarabangsa kerana pengalaman di sana sangat berbeza berbanding di Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Eid-Adha Celebration di Homestay Sarang Buaya di sini, hari ini.
Tambah beliau, permintaan terhadap inap desa di Sabah, Sarawak dan Semenanjung terus meningkat apabila pelancong mahu merasai sendiri pengalaman budaya serta kehidupan masyarakat setempat di kawasan berkenaan.
Menurutnya, keunikan budaya masyarakat tempatan seperti kaum Kadazan Dusun di Sabah serta komuniti Iban di Sarawak turut menjadi daya tarikan utama kepada pelancong asing yang ingin merasai pengalaman budaya autentik di Malaysia.
Beliau berkata, Malaysia bukan sahaja terkenal dengan masyarakat Melayu, malah turut memiliki kepelbagaian kaum lain termasuk masyarakat Cina yang menyumbang kepada keunikan budaya negara.
Katanya, kekuatan sektor pelancongan komuniti dan homestay itu perlu terus dipromosikan secara agresif bagi memastikan Malaysia kekal menjadi destinasi pilihan utama pelancong antarabangsa di rantau ini.- MalaysiaGazette















