Md Ysahrudin Kusni

JOHOR BAHRU – Demokrasi matang menuntut keberanian untuk mendapatkan mandat seramai mungkin rakyat yang keluar mengundi dalam pilihan raya.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Md Ysahrudin Kusni berkata, kemenangan sebenar bukan apabila berjaya mengurangkan jumlah pengundi yang keluar mengundi.

Sebaliknya kata beliau yang juga Ketua PKR Cabang Bakri, ukuran sebenar apabila berjaya meyakinkan majoriti rakyat untuk memberikan kepercayaan dan mandat secara terbuka dalam pilihan raya.

“Itulah roh demokrasi yang sebenar dan asas kepada pembentukan kerajaan yang benar-benar mewakili suara rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Meneurusi PRN Johor pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) menang dengan 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam keadaan peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu sekitar 54 peratus sahaja.

Beliau berkata, pemimpin yang benar-benar yakin dengan sokongan rakyat tidak perlu mencari kelebihan melalui pengurangan penyertaan pengundi.

Mereka kata beliau, sepatutnya menggalakkan seramai mungkin rakyat keluar mengundi supaya keputusan yang diperoleh benar-benar mencerminkan kehendak majoriti.

Justeru katanya, tindakan mengatur strategi politik semata-mata untuk mendapatkan kemenangan melalui kadar keluar mengundi yang rendah tidak seharusnya menjadi amalan.

“Jika ada pihak yang sengaja memilih masa atau keadaan tertentu dengan harapan hanya sebahagian pengundi akan keluar mengundi, maka ia bukanlah kemenangan yang lahir daripada persaingan idea dan keyakinan rakyat secara menyeluruh, sebaliknya kemenangan yang diperoleh melalui kelemahan penyertaan demokrasi,” ujarnya.

Dalam sistem demokrasi katanya, mandat yang kukuh lahir daripada penyertaan rakyat dengan jumlah tinggi.

Semakin ramai rakyat keluar mengundi, semakin kuat legitimasi kerajaan yang dibentuk, katanya.

“Sebuah kerajaan yang dipilih melalui penyertaan besar rakyat akan lebih diyakini, dihormati dan mempunyai asas yang lebih kukuh untuk melaksanakan dasar serta membuat keputusan demi kepentingan negara,” katanya.

Pilihan raya katanya, merupakan medan demokrasi yang memberi ruang kepada rakyat untuk memilih pemimpin serta kerajaan dirasakan paling layak dan terbaik untuk mentadbir negeri atau negara.

“Kekuatan sesebuah kerajaan bukan sahaja diukur melalui kemenangan yang diperoleh, tetapi juga melalui tahap penyertaan rakyat dalam proses demokrasi itu sendiri. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan seramai mungkin rakyat keluar mengundi.

“Penyertaan yang tinggi akan memberikan gambaran yang lebih tepat dan menyeluruh terhadap kehendak serta sokongan sebenar rakyat,” katanya.

Sebaliknya ujar Md Ysahrudin, jika hanya sebahagian kecil atau sekitar separuh daripada pengundi yang menunaikan tanggungjawab mereka, keputusan terhasil mungkin tidak mencerminkan suara majoriti rakyat secara keseluruhan.

Pada masa yang sama menurutnya, setiap pilihan raya melibatkan perbelanjaan yang besar daripada wang rakyat.

Jelasnya, ketika rakyat berdepan cabaran kos sara hidup dan negara memerlukan pengurusan kewangan yang berhemah, sebarang keputusan mengadakan pilihan raya seharusnya dibuat atas keperluan demokrasi dan perlembagaan, bukan kerana percaturan politik jangka pendek.

Tegas beliau, wang rakyat sepatutnya digunakan untuk pembangunan, pendidikan, kesihatan dan kebajikan, bukan dibazirkan demi memenuhi strategi politik yang menguntungkan pihak tertentu. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast