Dr. Sirhajwan Idek telah dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama anugerah Educational System Management Leadership (ESML) Leadership Award 2026 dalam kategori pendidikan vokasional oleh Chulalongkorn University, Bangkok, Thailand pada 29 Mei lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang guru Bahasa Inggeris dari Kolej Vokasional (KV) Keningau, Dr. Sirhajwan Idek telah dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama anugerah Educational System Management Leadership (ESML) Leadership Award 2026 dalam kategori pendidikan vokasional oleh Chulalongkorn University, Bangkok, Thailand pada 29 Mei lalu.

Ia dinobatkan semasa majlis persidangan pendidikan antarabangsa dan anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Pendidikan Thailand, Prasert Jantararuangtong.

Sebagai juara kategori, Sirhajwan menerima trofi anugerah dan sijil yang ditandatangani oleh Menteri Pendidikan sendiri, katanya dalam kenyataan.

Dr. Sirhajwan Idek

Terdapat lima kategori anugerah iaitu kategori pendidikan sekolah rendah/awal kanak-kanak, pendidikan sekolah menengah, sekolah antarabangsa, eksekutif pendidikan dan pendidikan vokasional.

Seramai lima finalis disenaraipendekkan dalam kategori pendidikan vokasional.

Sirhajwan dipilih sebagai juara bagi kategori ini atas sumbangannya memperkenalkan pembelajaran berasaskan komuniti melalui empat cara iaitu khidmat langsung, khidmat tidak langsung, advokasi dan penyelidikan berasaskan komuniti.

Melalui pendekatan ini, pasukan pelajar sekolahnya telah berjaya melaksanakan pelbagai khidmat masyarakat dan berjaya mendapat pengiktirafan dari pelbagai agensi seperti Impact Malaysia, CHANGE, Arus Academy, My Starfish Foundation dan Digital Promise yang menganugerahkan geran kepada projek-projek khidmat komuniti yang dikendalikan oleh para pelajar ini.

Di bawah bimbingan Sirhajwan selaku ketua penyelidikan dan inovasi kolej itu, pasukan teknologi kimpalan mereka berjaya mendapat geran RM15,000 daripada Impact Malaysia untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan sebuah bangunan sekolah rendah pada tahun 2025.

Selain daripada itu, para pelajar dari program lain seperi bakeri dan pastri, pengurusan perniagaan, teknologi elektrik, kosmetologi dan teknologi pembinaan telah melaksanakan kempen advokasi literasi kewangan, penyelidikan bersama petani, perkhidmatan rawatan dandan diri di rumah orang tua, kerja-kerja pembaikan perkakas elektrik dan pembaikan rumah lama dengan geran dan dana berjumlah RM2,000 sehingga RM10,000.

Berdasarkan dapatan data daripada pendekatan, Sirhajwan mendapati bahawa ia mampu meningkatkan penglibatan sivik, kebijaksanaan emosi serta daya ketahanan para pelajar manakala komuniti sasaran memberi maklumbalas yang sangat memberangsangkan.

Sirhajwan mendapat ilham melaksanakan pendekatan itu daripada ibunya sendiri, Bintek Abdul Rahman yang aktif melaksanakan kerja-kerja kebajikan dan membantu golongan berkeperluan di Kota Belud.

Dalam pada itu, Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang menzahirkan rasa tahniah kepada Sirhajwan Idek atas pencapaian yang berjaya mencetus motivasi dan penglibatan aktif para pelajar dan guru di kolej itu untuk menyumbang kepada masyarakat sekeliling dan seterusnya membantu memartabatkan pendidikan kolej vokasional. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast