KUALA LUMPUR – Seramai 29 penumpang bas ekspres disaman menerusi Operasi Khas Sempena Perayaan Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2026 selepas didapati tidak memakai tali pinggang keselamatan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sidhu berkata, dalam operasi bermula 24 Mei hingga semalam itu, sebanyak 106 saman dikeluarkan menerusi teknik penyamaran sebagai penumpang bas.
Menurut beliau, JPJ mempelbagaikan kaedah penguatkuasaan bagi memastikan pemandu bas ekspres mematuhi peraturan ditetapkan, antaranya anggota penguat kuasa menyamar sebagai penumpang.
“Ini bagi memastikan pemandu kenderaan perkhidmatan awam peka dan patuh kepada peraturan yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, melalui kaedah penguatkuasaan itu, sebanyak 77 notis saman dikeluarkan kepada pemandu bas yang melanggar peraturan.
Menurutnya, kesalahan paling tinggi yang dikesan ialah memandu di lorong kanan secara berterusan (21); mengabaikan isyarat lalu lintas (16) dan memandu lebih daripada jarak 300 kilometer (12).
“Dalam masa sama, sebanyak 29 notis saman dikeluarkan kepada penumpang yang gagal mematuhi peraturan pemakaian tali pinggang tempat duduk belakang,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh penguatkuasaan itu, pihaknya memeriksa sebanyak 14,150 kenderaan dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,673 diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
Sementara itu, tambahnya, sebanyak 73 kenderaan turut disita atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh penguatkuasaan ini iaitu 71 disita mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dua lagi disita mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Kata beliau, pihaknya akan terus menjalankan penguatkuasaan secara konsisten bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara. – MalaysiaGazette
















